Pekerja kontraktor SEB pasang kabel di Kampung Kuang Toop sesak nafas lalu meninggal dunia
SIBURAN -- Seorang pekerja kontraktor SEB yang menjalankan kerja-kerja memasang kabel di kawasan bukit berhampiran Kampung Kuang Toop sesak nafas lalu meninggal dunia semasa sedang menjalankan kerja petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, mangsa yang dikenali sebagai Siva A/L Sundram berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.
"Sepasukan anggota dari BBP Siburan bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 3.40 petang," ujarnya.
Sampai di lokasi, Komander Operasi menerima maklumat daripada si pelapor iaitu pekerja Sarawak Energy memaklumkan ada seorang pekerja kontraktor pemasang kabel telah mengalami sesak nafas.
Pasukan bomba kemudiannya bergerak menuju ke lokasi mangsa bersama enam orang anggota PBS Simpok, lapan orang pekerja kontraktor SEB termasuk orang kampung berjalan kaki ke lokasi mangsa sejauh 6 kilometer menaiki dan menuruni bukit yang curam.
"Setelah menjumpai lokasi mangsa, komander operasi membuat size up dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri lalu mengarahkan anggota EMRS memberi rawatan awal dengan membuat CPR pada mangsa dan mendapati mangsa tiada menunjukkan tanda-tanda kehidupan," jelasnya.
Pihak Bomba seterusnya membawa mangsa menuruni bukit menggunakan pengusung dari tempat kejadian. Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan tindakan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.