Pegawai penguatkuasa berpangkat pengarah antara disiasat kes penyeludupan diesel di Sibu

Pembantu penguat kuasa direman enam hari sehingga 2 September untuk siasatan lanjut.

SIBU-- Seorang pengarah agensi penguatkuasaan di Kuching ditahan kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di bandar ini.

Menurut sumber, lelaki yang berusia lingkungan 40-an itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak ketika hadir untuk memberi keterangan kira-kira jam 6.20 petang semalam.

"Suspek dipercayai telah menerima suapan daripada sindiket berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan dan undang-undang terhadap kegiatan penyeludupan minyak diesel di Sibu. 

"Tangkapan ke atas suspek ini adalah susulan serbuan dilakukan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi Op Liter di sebuah depoh simpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun katanya suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM dengan seorang penjamin. 

Selain itu, SPRM juga telah menahan seorang pembantu penguat kuasa agensi penguatkuasaan di Kuching juga dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel yang beroperasi di Sibu.

Suspek lelaki berusia 40-an itu direman enam hari hingga 2 September ini selepas Majistret Mason Jaro membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuching, pada Isnin.

Menurut sumber, individu itu telah ditahan di Pejabat SPRM Sarawak pada 3.25 petang Ahad ketika hadir bagi dirakamkan keterangan.

"Tangkapan terhadap pembantu penguat kuasa ini adalah susulan Op Liter dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu.

"Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah berkenaan daripada sindiket terbabit bagi melindungi kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Tangkapan itu disahkan Azmi yang memaklumkan kes juga disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat.

Pada Selasa, seorang wanita yang merupakan dua beradik yang ditahan reman pada Isnin atas dakwaan terlibat dalam sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dan rasuah pegawai penguat kuasa telah dibebaskan.

Majistret Oon Kork Chern memerintahkan suspek berusia 39 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, abang suspek yang berumur 42 tahun masih ditahan reman selama empat hari sejak Isnin.

Sumber SPRM memaklumkan pasangan adik-beradik tersebut ditahan bersama tiga individu lagi iaitu dua lelaki dan seorang wanita di depot simpanan diesel di Sungai Bidut, di sini pada Ahad semasa operasi bersama Ops Liter oleh SPRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup (KPDN).

Tiga lagi suspek juga telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ini.

Menurut sumber, kelima-lima suspek dipercayai sebahagian daripada sindiket yang menyeleweng minyak diesel untuk nelayan yang dijual dengan harga lebih tinggi kepada pembeli di luar negara.

Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak 2012 dan telah mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

Mereka juga disyaki memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi mengelakkan tindakan kerana menyimpan diesel tanpa permit yang sah.

Dalam operasi tersebut, SPRM merampas wang tunai kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, Seksyen 471 Kanun Keseksaan, dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Next Post Previous Post