Pakej 1 Pasi-Sibu-Tanjung Manis dijangka siap Mei 2025
SIBU -- Projek pembinaan Pakej 1 Jalan Pasi ke Jalan Sibu seterusnya ke Tanjung Manis dijangka akan siap pada Mac 2025, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) itu berkata projek pembinaan Jalan Sibu-Tanjung Manis termasuk Jambatan Batang Rajang Bahagian Sarikei kini berada pada tahap 92 peratus siap.
"Projek ini menelan belanja berjumlah RM321,377,700 yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak, dijadualkan siap sepenuhnya pada Mac 2025," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan Program Turun Padang Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak ke tapak projek pembinaan Jalan Sibu-Tanjung Manis termasuk Jambatan Batang Rajang Bahagian Sarikei, pada Jumaat.
Jelas Uggah, objektif utama projek itu adalah untuk memendekkan jarak perjalanan dan mengurangkan perjalanan masa dari Sarikei ke Tanjung Manis daripada dua jam setengah kepada 45 minit sahaja.
"Selain itu, projek ini adalah untuk menggalakkan pembukaan lebih banyak tanah untuk merangsang aktiviti komersial, pertanian, pelancongan dan pembangunan lain di kawasan ini," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau telah melakukan lawatan terhadap projek tersebut bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi meninjau sendiri perkembangan projek berkenaan.
Jelas beliau lagi, pembinaan jalan ini amat signifikan dalam usaha meningkatkan jaringan perhubungan dan rangkaian jalan pantai sediaada dengan Jambatan Batang Rajang.
Justeru katanya, pembinaan jalan tersebut perlu disiapkan mengikut jadual memandangkan ianya berfungsi sebagai penyambung untuk melengkapkan jaringan perhubungan yang hilang antara Sarikei dan Tanjung Manis sekaligus dapat menyingkatkan jarak perjalanan penggunanya kelak.
"Ia akan turut merancakkan lagi aktiviti di kawasan Pelabuhan Tanjung Manis. Ia merupakan mobiliti usaha kerajaan Sarawak untuk melengkap dan melancarkan sistem rangkaian perhubungan Jalan Pesisir di negeri ini," ujarnya.
Untuk rekod, Jambatan Batang Rajang adalah sepanjang 1.4 kilometer, manakala Jalan Pasi ke Tanjung Manis adalah sepanjang 17 kilometer.
Hadir sama Timbalan Menteri Sumber dan Kelestarian Alam Dato Sri Huang Tiong Sii, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, Pengarah JKR Sarawak Ir Dr Cassidy Morris dan Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yau.