Niat nak berjual produk kesihatan tradisional China tak kesampaian, pesara ditipu rugi setengah juta
KUCHING-- Seorang pesara perempuan di Sibu mengalami kerugian setengah juta ringgit selepas menjadi mangsa kes penipuan e-dagang.
Pesuhurjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, mangsa berusia 50-an itu tampil membuat laporan polis berhubung penipuan itu semalam.
Katanya, menurut mangsa, pada Disember 2023 bertempat di daerah Sibu, mangsa telah berminat dengan iklan penjualan produk kesihatan tradisional China yang dilihat di laman sesawang Facebook milik Ti Zhi Guan li (suspek).
"Kemudian mangsa telah menghubungi suspek menerusi aplikasi Whatsapp bagi urusan jual beli produk kesihatan tersebut.
"Pada mulanya, urusan jual beli berjalan lancar sehingga suspek menawarkan mangsa untuk menjadi pembekal produk kesihatan di daerah sibu agar mangsa boleh mendapatkan harga yang lebih murah.
"Mangsa yang berminat bersetuju tanpa sebarang perjanjian. Suspek menjelaskan bahawa mangsa perlu membuat pembayaran kos modal dan pengankutan untuk membawa masuk produk kesihatan dari China
ke Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mancha, setelah itu, suspek mengatakan produk kesihatan tersebut telah ditahan oleh pihak kastam di lapangan terbang Kuala Lumpur dan meminta mangsa untuk membuat pembayaran bagi pelepasan produk tersebut ke Sibu.
Jelasnya lagi, pada pertengahan Disember 2023 hingga penghujung bulan Julai 2024 mangsa telah membuat 45 transaksi wang secara berperingkat ke enam akaun bank yang berbeza berjumlah lebih kurang RM500,000.
"Mangsa menyedari dirinya telah ditipu setelah semua pembayaran dilakukan namun mangsa masih diminta untuk membuat pembayaran lain," dedahnya.