MHRS, Hub Hidrogen Sarawak diketengah pada EMM14 di Peru- TPM Fadillah

KUCHING-- Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof ketengahkan projek utama Stesen Pengisian Hidrogen Bergerak (MHRS) dan Hab Hidrogen Sarawak pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Ke-14 (EMM14) di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Pusat Konvensyen Lima (LCC) di Peru pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, projek utama itu berpotensi untuk mengangkat Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran hidrogen bersih.

"Saya juga berkongsi mengenai Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen Malaysia (HETR) yang menekankan pendekatan berfasa dalam membangunkan infrastruktur dan industri hidrogen, rangka kerja regulatori serta promosi bersasar bagi meningkatkan pelaburan dalam industri hidrogen tempatan. 

"Antara projek-projek utama hidrogen yang diketengahkan adalah Stesen Pengisian Hidrogen Bergerak (MHRS) dan Hab Hidrogen Sarawak yang berpotensi untuk mengangkat Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran hidrogen bersih," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu Fadillah berkata perbincangan semalam turut memberikan tumpuan kepada cabaran dan langkah penyelesaian untuk meningkatkan akses tenaga untuk pertumbuhan mampan, pembangunan hala tuju dan strategi pembangunan hidrogen serta dokumen rangka kerja dasar hidrogen rendah karbon bagi rantau APEC.
 
Secara umumnya, jelas beliau, semua ekonomi APEC mengakui kepentingan akses tenaga dalam memacu pertumbuhan mampan. 

Tambahnya, dalam mempromosi pembangunan lestari, usaha perlu dipertingkatkan untuk mengatasi halangan dan memudahkan capaian bekalan tenaga kepada rakyat khususnya di luar bandar.
 
"Semasa sesi intervensi, saya telah menegaskan bahawa dalam keghairahan melaksanakan agenda pembangunan mampan, akses kepada bekalan elektrik merupakan perkara asas dan penting bagi memastikan semua rakyat di pelbagai peringkat mendapat bekalan elektrik, terutama di kawasan luar bandar. 

"Pendekatan senegara dan usaha bersepadu daripada pelbagai Kementerian, jabatan dan industri adalah penting untuk memastikan keseimbangan trilema tenaga iaitu keselamatan, kemampanan dan akses kepada sumber bekalan elektrik," tegasnya.

Pada sama sama beliau turut berkongsi bahawa pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) oleh Malaysia adalah berlandaskan kepada empat prinsip utama iaitu menyokong aspirasi pembangunan mampan negara, memastikan peralihan tenaga yang adil dan inklusif, memperkukuh tadbir urus yang efektif serta memperluas penglibatan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PKS) dalam ekosistem tenaga.
Next Post Previous Post