Mayat mangsa perahu tambang karam di Kampung Selampit Lundu dijumpai
LUNDU -- Mayat pertama dari tiga mangsa perahu tambang karam Sungai Kayan di Kampung Selampit dijumpai penduduk kampung pada jam 11.58 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, mayat mangsa Vilkie Wilson berusia 15 tahun dijumpai penduduk kampung pada jam 11.58 pagi pada jarak 10 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke daratan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Dengan penemuan mangsa pertama ini sekaligus menjadikan dua lagi mangsa iaitu Alsma Jithil, 14, dan Helena Fasha Petrus, 17, masih lagi hilang.
Usaha pencarian akan diteruskan di hari yang kedua ini dengan menggunakan teknik pencarian secara permukaan yang mana mensasarkan kawasan 3 kilometer radius ke hulu dan hilir sungai.