Malaysia perlu 62,000 tenaga kerja mahir yang kompeten, realisasi TBB sektor tenaga
KUCHING-- Malaysia memerlukan 62,000 orang yang kompeten bagi merealisasikan usaha menggerakkan penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) sehingga 70 peratus atau 56 GigaWatt (GW) dalam sektor tenaga pada 2050.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata ini berdasarkan kepada unjuran peningkatan teknologi peralihan tenaga negara.
"Justeru, pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.
"Inisiatif Suruhanjaya Tenaga bagi melahirkan orang kompeten menerusi TVET merupakan langkah ke hadapan untuk memastikan para graduan kita bukan sahaja mahir dalam teori, tetapi juga kompeten dalam pelaksanaan praktikal di lapangan," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis TVET Competent ST dengan slogan “TVET Competent ST, Energy Transition Catalyst” anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST), di Putrajaya hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata tanpa bekalan tenaga yang cekap dan berterusan, pembangunan ekonomi, industri dan sosial sesebuah negara akan terjejas, sekali gus memberikan impak negatif kepada pelbagai segmen ekonomi.
Katanya, industri tenaga adalah penting kerana ia sebagai tulang belakang kepada pembangunan negara.
"Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak berkepentingan, kementerian, jabatan kerajaan dan agensi kawal selia, pihak industri tenaga dan institusi pendidikan, untuk memastikan sektor tenaga mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, kompeten dan sentiasa tersedia untuk memenuhi keperluan industri ini," katanya.
Tambah beliau, pengembangan peranan TVET ini sejajar dengan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan membangunkan program kemahiran hijau di samping menambah baik program TVET serta pendidikan tinggi bagi sektor hijau.
Justeru, beliau memberitahu majlis TVET Competent ST itu diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada institusi yang ditauliah oleh pihak ST untuk mengendalikan kursus dan peperiksaan kekompetenan bagi elektrik dan gas.
Jelasnya,program itu bertujuan untuk mendidik dan mempromosikan keselamatan elektrik dan gas berpaip kepada para pelajar dengan matlamat melahirkan lebih ramai orang kompeten elektrik dan gas, yang bukan sahaja berpengetahuan, berkemahiran, malah berkualiti di pasaran negara.
Dalam pada itu, katanya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dalam melahirkan pembangunan modal insan kompeten yang responsif, fleksibel dalam aspek peralihan tenaga dan kemahiran hijau.
"Saya berharap, dengan adanya inisiatif sebegini, selaras dengan peruntukan kawal selia, ST akan dapat meningkatkan lagi kesedaran di kalangan pihak industri, institusi pendidikan dan kemahiran untuk mengutamakan aspek keselamatan elektrik dan gas berdasarkan Kod, Arahan dan Garis Panduan, dalam mengendalikan kursus dan peperiksaan kekompetenan di institusi masing-masing.
"Bagi memastikan pembangunan keupayaan dan modal insan yang kompeten untuk menyokong agenda peralihan tenaga, Kerajaan komited untuk terus memperkasakan proses akreditasi sedia ada yang berfokus kepada tenaga boleh baharu," tambahnya lagi.
Oleh itu, beliau berkata, pelaksanaan Program TVET-ST akan mewujudkan rangka kerja yang kukuh bagi pembangunan kekompetenan, pemerakuan dan pentauliahan.
"Selain itu, hari ini, kita dapat menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu di antara Suruhanjaya Tenaga dan Energy Commission of Sabah (ECoS).
"Saya percaya kerjasama dan kolaborasi yang erat di antara badan kawal selia akan mewujudkan persekitaran yang kondusif di dalam industri elektrik dan gas khususnya mewujudkan pengurusan yang efektif dan cekap bagi menjamin keselamatan pengguna di seluruh negara," ujarnya.
Pemeteraian MoU itu juga katanya secara langsung mengharmonikan tadbir urus dan kawal selia dalam perkara-perkara berkaitan kekompetenan, kelengkapan elektrik dan gas antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, sekali gus meningkatkan menyokong pertumbuhan ekonomi dan kualiti perkhidmatan kekompetenan negara.
"Saya juga ingin menyarankan agar pihak industri meneroka peluang untuk berdiskusi dan berkolaborasi dengan insititusi pendidikan dan badan kawal selia dalam menjamin peluang kerjaya graduan TVET
Competent ST," jelasnya.