Lelaki maut, 4WD dipandu bertembung lori 10 tan di Simpang Batu Niah
MIRI -- Seorang lelaki maut manakala dua lagi penumpang mengalami kecederaan selepas pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori 10 tan semasa melakukan pusingan "U" berhampiran rumah panjang Maxwell Libai di Simpang Batu Niah petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, mangsa yang berusia 31 tahun dan pemandu 4WD terbabit disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.
Pemandu lori terbabit turut dilaporkan mengalami kecederaan.
"Sepasukan anggota bomba dari BBP Batu Niah bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.12 petang bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serra mengeluarkan mangsa tersepit dalam kenderaan," jelasnya.
Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang membabitkan sebuah 4WD dan lori.
Semasa kejadian, 4WD terbabit dikatakan sedang melakukan pusingan "U" sebelum bertembung dengan lori terbabit yang sedang bergerak dari arah Bintulu menuju ke Miri.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.