Lelaki maut, 4WD dipandu bertembung lori di Batu 27 Jalan Bintulu-Miri
BINTULU -- Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) model Toyota Hilux yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan yang berlaku di Batu 27 Jalan Bintulu-Miri petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, dalam insiden yang berlaku pada jam 1.10 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Lau Siong Chong berusia 38 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan KKM yang turut berada di lokasi.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden yang berlaku," jelasnya.
Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan melibatkan sebuah 4WD dan lori.
Pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat seorang mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu dan tidak tersepit.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.
"Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," jelas beliau.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.