Lelaki jatuh sungai semasa keluar mengutip buah-buahan ditemui mati lemas
LAWAS -- Seorang lelaki yang keluar mengutip buah-buahan ke kebun ditemui mati lemas selepas tergelincir ke dalam anak sungai di kawsaan Sungai Arur Long Tuma di Jalan Lawas Damit awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak, sepasukan anggota dari BBP Lawas bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 8.28 pagi.
Mangsa yang dikenali sebagai Ricky Siring berusia 56 tahun disahkan mati oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Dalam insiden yang berlaku awal pagi tadi, mangsa dikatakan pergi ke kebun mengutip buah-buahan.
Setibanya di lokasi kejadian, mangsa melintasi anak sungai dengan menggunakan titi sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam anak sungai kecil.
Semasa kejadian, mangsa dikatakan membawa bakul besar bagi menyimpan buah-buahan yang dikutipnya untuk dibawa pulang ke rumah.