Lelaki dari Kota Samarahan korban baharu rabies

KUCHING-- Seorang lelaki dari Kota Samarahan menjadi korban baharu wabak rabies di Sarawak.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah berkata, mangsa berusia 35 tahun mula mengalami gejala kebas pada bahagian kedua-dua anggota kaki serta sukar membuang air kecil pada 7 Ogos 2024. 

"Pada 10 Ogos 2024, beliau mengalami sesak nafas dan hydrophobia, dan telah mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak. 

"Sampel klinikal yang diuji telah mengesahkan beliau dijangkiti rabies.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia pada 12 Ogos 2024 di Hospital Umum Sarawak. 

"Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut kes itu, Dr Veronica berkata, hasil siasatan, kes mempunyai sejarah digigit anjing peliharaan milik abangnya di bahagian betis kanan pada pertengahan Jun 2024, di Batu Kawa. 

Jelasnya, selepas kejadian digigit, mangsa tidak mendapatkan sebarang rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan. 

"Anjing berkenaan juga tidak diberi vaksinasi antirabies selain bebas bercampur dengan haiwan liar dan telah mati beberapa hari selepas kejadian gigitan berkenaan dan bangkai anjing telah dibuang," dedahnya.

Dengan pertambahan kes baharu ini, beliau memberitahu, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 80 kes dengan seramai 73 kematian. 

"Daripada 80 kes ini, hanya lima kes telah dilaporkan dalam tahun ini, dan kesemua kes telah disahkan meninggal dunia akibat komplikasi daripada jangkitan rabies. 

"Ini merupakan penurunan berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2023, dengan 15 kes termasuk 13 kematian dilaporkan," katanya.

Menurutnya lagi, kejadian gigitan anjing dan kucing di Sarawak masih tinggi yang mana sejak 2017 sehingga Minggu Epid Ke-32 tahun 2024 (4 sehingga 10 Ogos 2024), terdapat 57,485 kes gigitan anjing, 49,092 kes gigitan/cakaran kucing dan 1,628 gigitan lain-lain haiwan telah dilaporkan.

"Dalam tempoh dari 1 Januari hingga 10 Ogos 2024 pula, sebanyak 11,536 kes gigitan haiwan dilaporkan dan secara puratanya terdapat 360 kes gigitan haiwan dilaporkan setiap minggu di Sarawak," tegasnya.

Justeru, beliau ingin mengingatkan orang ramai bahawa penyakit rabies masih didapati di Sarawak dengan kadar kematian penyakit rabies amat tinggi,

Namun penyakit ini katanya boleh dicegah sekiranya langkah-langkah pencegahan diambil sejurus selepas gigitan atau cakaran oleh haiwan.
Next Post Previous Post