Lelaki dan wanita ditangkap bersama 33 kg syabu bernilai lebih RM1 juta di Batu 7

KUCHING-- Dua suspek ditangkap bersma 33 kilogram (kg) bernilai RM1,056,000 syabu dalam operasi khas di Sentosa Parade, Batu 7, Jalan Kuching Serian di sini semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, suspek seorang lelaki, 53, dan seorang wanita, 23, kedua-dua warga tempatan ditangkap sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

"Suspek lelaki berusia 53 tahun mempunyai rekod kesalahan jenayah di bawah Seksyen 379A dan 385 kanun keseksaan, manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek, didapati positif amphetamine dan methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, keseluruhan dadah syabu yang dirampas adalah berjumlah 33 kilogram dianggarkan bernilai RM1,056,000 yang boleh digunakan untuk 165,000 orang penagih.

Selain itu, tegasnya, polis turut merampas dua kereta bernilai RM63,000 untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu sebuah kereta jenis Proton Saga bernilai RM18,000 dan sebuah kereta jenis Toyota Camry bernilai RM45,000.

"Polis turut menyita beberapa barangan iaitu tiga bentuk cincin emas bernilai RM10,780 dan wang tunai RM1,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Mengulas lanjut, Mancha berkata, modus operandi, suspek memperolehi bekalan dadah daripada ketua sindiket di Kuching.

"Suspek menggunakan rumah kediaman sebagai tempat penyimpanan dadah dan akan menyerahkan dadah kepada pembeli berdasarkan arahan ketuanya.

"Suspek menerima upah rm100 sehari," katanya 

Jelasnya, kedua-dua suspek direman enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 4 September ini.

Tegas beliau siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang
tidak kurang daripada 12 sebatan.

"PDRM bertekad untuk memerangi habis-habisan dadah musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222," ujarnya.
Next Post Previous Post