Kosong 1,134 tetapi pengambil khas guru Sarawak terima 15,000 permohonan

KOTA SAMARAHAN-- Pengambilan khas guru Sarawak yang melibatkan 1,134 kekosongan jawatan ketika ini menerima sambutan hangat dengan 15,000 permohonan diterima setakat ini.

Ini dijelaskan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang memberitahu ia menunjukkan minat mendalam terhadap profesion guru sekali gus akan memberi saingan sengit kepada para pemohon.

"Oleh sebab ini aspek pemilihan ke jawatan itu tidak akan hanya fokus kepada penguasaan akademik semata-mata.

“Sebaliknya pemilihan akan merangkumi aspek sikap pedagogikal, kemahiran berinteraksi serta cara-cara calon terlibat memperagakan diri mereka ketika sesi temuduga," katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media selepas hadir Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Affin Bank Berhad dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan kementeriannya di sini hari ini.

Tambah Sagah, keadaan itu juga menunjukkan Sarawak mempunyai ramai calon yang boleh dipilih.

"Kita berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) kerana memberikan peluang kepada Sarawak memulakan program pengambilan khas guru ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengambilan guru oleh Kerajaan Sarawak pernah dilaksanakan sebelum ini namun hanya membabitkan tempoh setahun.

Justeru, beliau percaya Sarawak masih berhadapan dengan masalah kekurangan guru dan sebab itu kerajaan perlu menyelesaikannya.

"Pengambilan khas guru ini juga akan turut mengambil kira lokaliti serta tempat kelahiran calon.

"Kriteria ini menjadi antara perkara penting dalam mengurangkan masalah penempatan serta peningkatan pemohonan perpindahan guru yang sering berlaku sekiranya calon guru terbabit di tempatkan di sekolah yang jauh dari tempat asal mereka.

“Apabila mereka ditugaskan berdekatan kawasan asal, kita akan kurang berdepan dengan isu guru mohon pindah,” tegasnya.

Pada 1 Ogos lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah bersetuju untuk menggunakan kumpulan guru tambahan di bawah Pengambilan Khas Sarawak dalam usaha menangani kekurangan guru di seluruh negeri.

Sagah dipetik berkata, pengambilan khas ini terbuka kepada semua graduan ijazah sarjana muda tanpa mengira bidang.

"Calon yang berjaya akan menerima kontrak selama dua tahun dan menjalani Diploma Pendidikan menggunakan pembiayaan sendiri di institut pendidikan guru (IPG) melalui Kursus Dalam Cuti (KDC)," katanya.

Jelasnya lagi, selepas memperoleh Diploma Pendidikan, mereka akan ditawarkan jawatan mengajar tetap, tertakluk kepada saringan akhir oleh SPP.

Tambahnya, Pengambilan Khas Sarawak mengutamakan calon dari kawasan yang terdapat kekosongan bagi mengelakkan isu guru meminta pertukaran keluar dari sekolah yang ditugaskan selepas pelantikan dan penempatan.
Next Post Previous Post