Kompleks UNIFOR mercu perpaduan rakyat Sarawak kini 40 peratus siap

KUCHING-- Bangunan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang terletak di Jalan Ong Tiang Swee di sini kini megah berdiri apabila papan tanda kompleks berkenaan sudah dipasang baru-baru ini.

Kompleks UNIFOR itu dibina di atas tanah seluas 1.214 hektar bernilai RM70 juta. 

Bangunan setinggi 10 tingkat itu akan mempunyai ciri-ciri konsep bangunan hijau dan mempunyai tempat mesyuarat dua tingkat, dewan jamuan yang boleh menempatkan 1,000 orang jemputan, ruang tertutup sebahagian di bumbung dan ruang komersial.

Baru-baru ini, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembinaan kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah mencapai 40 peratus siap.

Katanya, beliau amat gembira dengan perkembangan projek yang kini lebih awal daripada jadual.

“Kami berasa gembira dengan perkembangan kerana apabila kami berada di sini pada 12 Mei yang lepas di mana pembinaan ini berada pada tahap 28 peratus.

“Hari ini, kami telah diberitahu bahawa pembinaan ini telah mencapai 40.34 peratus yang mana dapat saya katakan projek ini 0.34 peratus lebih awal dari jadual,” katanya semasa ditemui media selepas melakukan lawatan di tapak UNIFOR di sini pada Sabtu lepas.

Justeru, Uggah berharap pihak kontraktor dapat meneruskan kerja yang baik agar bangunan ini dapat disiapkan lebih awal lagi.

"Pembinaan bangunan tersebut amat penting untuk perkembangan dan penganjuran aktiviti agama-agama lain pada masa hadapan," ujarnya.
Next Post Previous Post