Kibar Jalur Gemilang sepanjang masa tanpa perlu menunggu kempen Bulan Kebangsaan-Fadillah

KUCHING-- Setiap anak Malaysia sewajarnya berasa bangga untuk mengibarkan Jalur Gemilang tanpa perlu menunggu ketika kempen Kibar Jalur Gemilang atau ketika tibanya Bulan Kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, setiap anak Malaysia harus mempunyai jati diri yang berpaksikan keutuhan semangat nasionalisme dan setia kepada negara.

"Itu antara mesej yang saya sampaikan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, hari ini.

"Dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis dan tempat awam, kita dapat menunjukkan semangat patriotisme dan cintakan Negara," katanya.

Tambah Fadillah, jiwa Merdeka harus dijadikan pengertian betapa pentingnya diri sendiri sebagai rakyat Malaysia kekal ‘merdeka’ tanpa perlu terikat atau dikongkong oleh mana-mana individu atau pihak yang mempunyai kepentingan lain yang bertentangan dengan kepentingan nasional. 
 
"Setiap tahun kita menyambut Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang mulai bulan Julai, diikuti Hari Kebangsaan 31 Ogos dan diteruskan sehingga Hari Malaysia 16 September, dengan penuh semangat patriotisme," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pelbagai aktiviti diadakan ke arah menyemarakkan rasa cinta kepada Negara sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024.

Jelasnya, Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di peringkat kebangsaan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 21 Julai 2024 di Cyberjaya, dengan tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.
 
"Marilah kita mensyukuri suasana aman damai dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini dengan harapan ia juga akan dinikmati sepenuhnya oleh generasi kita pada masa akan datang," ujarnya.

Beliau turut menyeru agar rakyat memerkukuhkan semangat kebersamaan, meraikan perbezaan dalam kepelbagaian dan bersama-sama dalam membangunkan Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera.

Pada majlis itu beliau turut meluangkan masa untuk sesi wawancara secara langsung dengan radio SarawakFM, selain melawat reruai yang dibuka. 
Next Post Previous Post