Kes seludup diesel di Sibu, dua beradik direman

KUCHING-- Dua beradik yang merupakan pengusaha stesen minyak di Sibu tahan direman kerana dipercayai terbabit sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan. 

Majistret Romaroi Jonoi membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 40-an direman selama empat hari sehingga 29 Ogos 2024, manakala adik perempuannya berusia sekitar 30-an direman selama satu hari sehingga esok selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Sibu, hari ini. 

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, aktiviti sindiket penyeludupan menjual diesel kepada pihak luar selain merasuah penguat kuasa berjaya ditumpaskan susulan serbuan yang dijalankan di sebuah depoh penyimpanan minyak dekat Sungai Bidut di Sibu, Sarawak pada Ahad.

Jelasnya, dalam Op Liter yang dijalankan Bahagian Operasi Khas dan Skuad Taktikal Khas SPRM yang turut mendapat kerjasama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah depoh simpanan minyak diesel di Sungai Bidut, di sini, pada Ahad telah memberkas lima individu termasuk dua beradik terbabit, dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

Katanya, kelima-lima suspek ini dipercayai terbabit dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, namun dijual pada kadar harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.

"Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta. 

"Mereka disyaki turut membayar wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah," katanya. 

Menerusi operasi itu, SPRM telah menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter minyak diesel. 

Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta susulan tangkapan terhadap kelima-lima suspek berkenaan. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap dua beradik berkenaan bersama dua lagi lelaki dan wanita dalam operasi diadakan semalam. 

Bagaimanapun, dua lelaki dan seorang wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini. 

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan Bekalan 1961. 
Next Post Previous Post