Kes pecah cermin kereta di BDC, lelaki ditangkap

KUCHING-- Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes khianat dengan memecahkan cermin kereta di Jalan BDC di sini yang tular di media sosial ditangkap pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek berusia 34 tahun terbabit ditangkap sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching di Jalan Keranji di sini, sekitar jam 7.30 malam.

"Suspek kini ditahan reman mulai 19 sehingga 22 Ogos 2024 untuk siasatan pihak polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya," katanya dalam kenyataan.

Mohd Farhan memberitahu, tangkapan dibuat setelah pihaknya menerima laporan berkaitan video tular tersebut pada jam 10.17 malam Sabtu.

“Hasil siasatan lanjut mendapati laporan tersebut berkait dengan satu video tular berdurasi 1 minit 50 saat membabitkan kejadian perlanggaran dua buah kenderaan di Jalan BDC di sini yang berlaku pada 17 Ogos 2024, sekitar jam 10.30 pagi,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau di mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Logeswara Tharumally di talian 0182914239. 

Tegasnya lagi, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang. 

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertindak di luar batasan undang-undang,” ujarnya. 
Next Post Previous Post