Kes kebakaran di Samalaju: Dua mangsa terpaksa terjun tingkat 6 selamatkan diri

BINTULU-- Dua daripada 10 mangsa terpaksa terjun dari tingkat 6 Train A untuk menyelamatkan diri dalam insiden kebakaran di OCIM Sdn Bhd, Taman Perindustrian Samalaju petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu berkata, dalam kejadian sekitar 6 petang itu, terdapat 10 mangsa , semua warganegara Malaysia dalam lingkungan usia 21 ke 38 tahun.

"Sewaktu kejadian terdapat tiga orang berada di Tingkat 6 Train A dan tujuh orang di Train B di mana jarak Train A dan Train B dalam lingkungan 50 meter.

"Kebakaran menyebabkan gas silanetetrachloride terlepas. Asap yang dilepaskan mengikut arah angin dan naik ke atas dan turut melibatkan tujuh pekerja di Train B.

"Dua orang pekerja di Train A terjun dari tingkat 6 untuk menyelamatkan diri manakala seorang di Train A diselamatkan oleh pihak Bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya kebakaran berjaya dikawal dalam linkungan 6.35 petang.

Jelasnya lagi, semua pekerja dibawa ke Medic OCIM sebelum dibawa ke Hospital Bintulu.

"Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu menerima panggilan sekitar jam 7.27 malam mengenai tersebut.

"Penduduk setempat dan pekerja di kilang-kilang perindustrian sekitar kawasan perindustrian Samalaju melaporkan bunyi letupan dan asap tebal dari syarikat tersebut dan kejadian ini telah disahkan Pegawai Keselamatan OCIM Sdn. Bhd," ujarnya.

Pihak Bomba telah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.35 petang dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.

Mengikut kenyataan rasmi dari pihak OCIM Sdn Bhd melalui Pegawai Keselamatannya punca dikenal pasti disebabkan oleh kebocoran sistem perpaipan loji OCIM yang menyebabkan asap hitam dan putih dibebaskan iaitu hasil tindak balas kimia dan Metallurgical Silicone.

Sementara itu, katanya Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) Hospital Bintulu melaporkan terdapat 10 mangsa terlibat, enam daripadanya mengalami kecederaan dan empat mangsa dirawat di Zon Merah bagi "Inhalation Injuries". 

Mengulas lanjut tentang mangsa yang dirawat di Hospital Bintulu, katanya, empat mangsa di ICU (ventilated), tiga di di Burn Unit dan tiga lagi di Male Surgical Ward.

Susulan kebakaran ini juga, katanya
Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu telah diaktifkan pada jam 7.30 malam.

"Siasatan lanjut berkaitan kejadian ini sedang dijalankan. Satu pasukan RRT telah diaktifkan dan 1 pasukan RAT dalam 'mode standby'.
 
"Unit Survelan dan KPAS PKB Bintulu juga menjalankan pemantauan pelaporan sebarang gejala akut melibatkan penduduk sekitar kawasan. 

"Satu pasukan RRT dan satu pasukan RAT akan bergerak ke lapangan pada jam 9 pagi bagi menjalankan siasatan lapangan dan ACD," ujarnya.

Selain itu, surat pemakluman aktiviti survelan penyakit akibat pencemaran udara akan diedarkan kepada semua pengamal kesihatan bahagian Bintulu sebelum jam 10 pagi.
Next Post Previous Post