Kerajaan Sarawak bina jalan baharu mudahkan murid ke SK Suba Buan baharu, buka penempatan baharu elak banjir

BAU-- Kerajaan Sarawak akan membina jalan baharu bagi memudahkan akses murid ke Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan baharu, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu, bangunan baharu sekolah tersebut dibina di lokasi baharu susulan bangunan lama terjejas akibat banjir.


"Apa yang berlaku di kampung tradisi ini infrastrukturnya tidak teratur yang mana dahulu sekolah ini sama di kampung dan sering dilanda banjir.

"Oleh sebab itu kita membina bangunan baharu untuk sekolah yang juga dapat menampung murid dari kampung-kampung lain yang bersebelahan kampung ini.

"Bagi memudahkan murid dan penduduk kampung bergerak, kita membina jalan baharu dan selain itu, jalan baharu ini mempunyai jajaran baharu untuk kita membuka kawasan baharu bagi perumahan supaya orang kampung dapat pindah ke penempatan baharu agar mereka tidak lagi tinggal di kawasan rendah yang sering dilanda banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan Suba Buan, di sini hari ini. 

Jelas Abang Johari sekolah baharu itu menempatkan 61 murid dari Kampung Suba Buan.

"Bangunan baharu sekolah ini juga mampu menampung murid dari beberapa kampung termasuk di sekitar Bau kerana ia terletak tidak jauh iaitu 3 kilometer sahaja," tambahnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata, jalan baharu itu bakal bermula dari Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan.

"Pembinaan jalan raya dari sekolah tersebut agar sekolah tersebut dapat diakses untuk penduduk di kawasan Bau di samping dapat membantu penduduk-penduduk Kampung Suba Buan. 

"Saya dah arahkan tadi untuk pelankan jalan R3 dari sini (SK Suba Buan) yang akan dari sini akan ada jambatan yang akan dibina bernilai RM12 juta. 

"Jadi kita akan ada satu bulatan di hadapan sekolah ini dengan satu arah ke Kampung Suba Buan dan satu lagi ke arah bandar Bau dengan nilai keseluruhan projek ini adalah RM55 juta," katanya. 


Tambahnya projek jalan baharu sepanjang 3 kilometer (km) di sekitar kawasan Kampung Suba Buan bagi meningkatkan kesalinghubungan di kawasan tersebut. 

Dalam pada itu, Premier Sarawak juga mengumumkan pembinaan sebuah sekolah teknik di kawasan Bau atas permintaan Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep. 


Jelasnya, sekolah tersebut akan menggunakan peperiksaan vokasional yang bertaraf Tingkatan Enam bagi membolehkan pelajar tersebut memfokuskan kepada pendidikan tenaga hijau dan aeroangkasa bersesuaian dengan ekonomi Sarawak. 

"Saya melihat pelajar SK Suba Buan ketika melawat pameran mereka mempunyai pengetahuan mengenai hidrogen maka kita bina sekolah untuk menambah ilmu ke tahap Sarjana Muda. 


"Hal ini termasuk aeroangkasa di mana mereka ini tahu mengenai penderia (sensor) dan juga cip avionik yang digunakan untuk satelit yang merupakan penyimpanan data. Maka saya berkehendak untuk mereka belajar mengenai perkara ini. 

"Dengan adanya satelit maka penggunaan menara sel dapat dikurangkan," ujarnya.


Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga ADUN Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Bau dan Jabatan
Pendidikan Negeri Sarawak kerana berjaya merealisasikan impian warga Kampung Suba Buan khususnya dan Daerah Bau untuk memiliki bangunan baharu gantian penuh SK Suba Buan.

"Terima kasih juga kepada diucapkan kepada YAB Premier kita, Allahyarham Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Tok Nan, mantan ADUN N.2 Tasik Biru YBhg Datuk Peter Nansian dan mantan Ahli Parlimen Mas Gading YBhg Dato Anthony Nogeh yang mana atas perjuangan mereka, isu banjir yang membelenggu Sekolah Kebangsaan Suba Buan, Bau akhirnya telah menemui titik noktahnya dengan lulusnya peruntukan sebanyak RM24.6 juta pada 2015 bagi pembinaan gantian penuh 18 bilik darjah dan enam unit rumah guru serta lain-lain kemudahan di SK Suba Buan
yang Baharu ini," ujarnya.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan-Tinbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil dan Datuk Henry Harry Jinep, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia Wan Hashim Wan Rahim, Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad tetamu kehormat lain.
Next Post Previous Post