Kampus Laila Taib UTS Mukah dicadang jalin kerjasama institusi pendidikan di Turki

MUKAH-- Kampus Laila Taib Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Cawangan Mukah dicadangkan menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan di Turki bagi menerapkan teknologi canggih dalam industri maritim.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kampus Laila Taib UTS Mukah merupakan satu-satunya kampus di Malaysia yang dilengkapi dengan kemudahan canggih dalam bidang kejuruteraan marin termasuk teknologi simulasi pengurusan kapal.

"Kerjasama antarabangsa adalah penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan kemajuan teknologi di UTS.

"Cadangan ini turut melibatkan pengenalan program bersama dengan universiti di Turki yang akan membuka peluang bagi pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah di negara berkenaan.

"Dengan pelaksanaan perubahan teknologi dalam industri maritim ini diharapkan akan menjadikan UTS sebagai peneraju dalam bidang teknologi marin di Malaysia, sekali gus memajukan sektor pendidikan di Mukah dan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam teknologi canggih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kampus Laila Taib UTS Cawangan Mukah, di sini hari ini.

Tambah Abang Johari, usaha ini selari dengan perancangan untuk mengembangkan penggunaan teknologi cip, khususnya komponen cip yang sangat diperlukan dalam teknologi 'remote sensing'.

"Kita akan berunding dengan sektor semikonduktor tempatan untuk melatih pelajar dalam program lanjutan yang berkaitan. 

"Program ini bertujuan untuk membekalkan kemahiran asas kejuruteraan marin kepada pelajar," katanya sambil menambah ia sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan data bawah laut.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, untuk mengetahui potensi minyak di bawah laut, perlu memahami geologi di kawasan tersebut. 

“Data geologi ini boleh diperoleh melalui penerokaan menggunakan peralatan tanpa pemandu atau kenderaan bawah laut tanpa pemandu," ujarnya.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hajah Hanifah Taib, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzruddin Abdul Rahman, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Adana Jed, ADUN Tellian Royston Valentine, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Daro Safiee Ahmad, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Residen Bahagian Mukah, Kueh Lei Poh serta tetamu lain.

Next Post Previous Post