Jawatankuasa Induk Pasukan Petugas Khas ditubuh, tangani isu dokumen pengenaan diri rakyat Sarawak
KUCHING-- Kerajaan Sarawak dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju untuk mewujudkan Jawatankuasa Induk Pasukan Petugas Khas bagi menyelesaikan masalah dokumen pengenalan diri bagi rakyat di negeri ini.
Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tujuan jawatankuasa itu untuk memudahkan cara supaya rakyat Sarawak yang belum memilik dokumen pengenalan diri dapat memilikinya.
“Agensi utama kami adalah Jabatan Pendaftaran Negara, jadi dengan kombinasi ini, jawatankuasa ini dapat memudahkan kami untuk sampai ke kawasan pendalaman dengan berpandukan kepada data yang dikumpul oleh kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Terdahulu, beliau telah membentangkan laporan terkini mengenai isu dokumen pengenalan diri rakyat Sarawak menerusi kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.
Jelasnya, laporan yang dibentangkan merangkumi kemajuan dan pencapaian Jawatankuasa Unit Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh KDN dengan kerjasama kerajaan Sarawak, khusus untuk menangani isu berkenaan.
"KDN dan kerajaan Sarawak telah mewujudkan Jawatankuasa Unit Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan bersama oleh Premier Sarawak dan saya, terdiri daripada dua peringkat iaitu jawatankuasa induk dan jawatankuasa yang turut dianggotai Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
"Kita telah beroperasi sejak tahun lepas dan hari ini saya membentangkan pelaporan hasilnya, mengenai dokumen pengenalan diri yang telah diterima, jumlah yang sedang diproses, serta bilangan permohonan yang masih belum selesai," katanya.
Turut mendengar pembentangan tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Pada masa sama Saifuddin memberitahu penubuhan jawatankuasa bersama itu memudahkan akses ke kawasan pedalaman Sarawak dengan lebih efisien.
Katanya lagi, data yang dikumpulkan oleh kerajaan Sarawak memberikan panduan jelas mengenai lokasi dan keperluan kawasan terpencil, membolehkan pengurusan permohonan dokumen pengenalan diri dilakukan dengan lebih sistematik.
"Kerajaan Sarawak menyediakan sokongan logistik yang signifikan. Jika kami memerlukan helikopter, mereka akan menyediakan helikopter untuk membawa kami ke lokasi tersebut.
"Sebagai agensi yang mematuhi undang-undang, komitmen kami adalah untuk memastikan proses permohonan dilaksanakan dengan legitimasi dan autoriti yang sesuai mengikut undang-undang yang berkuat kuasa," ujarnya lagi.
Beliau juga memaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat untuk memberi perkembangan terbaharu kepada para media.