Jasad dipercayai Yoga berjaya ditemukan di 'lubang maut' Gunung Tabai
BAU-- Jasad dipercayai Yoga Anggiska, 26, warga Indonesia yang dilaporkan hilang ditemukan tertimbus di dalam lubang lombong emas haram di Gunung Tabai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas berkata, jasad mangsa dijumpai pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama penduduk tempatan dan seorang sepupu mangsa yang melakukan kerja-kerja pencarian di kawasan tersebut.
"Pasukan yang dianggotai lapan orang terdiri daripada bomba, penduduk tempatan dan sepupu mangsa telah memasuki kawasan untuk melakukan pencarian sekitar jam 11.35 pagi tadi.
"Pasukan berjaya menemukan lokasi mangsa tertimbus yang dikenali sebagai 'lubang maut' dan kemudian menjalankan kerja-kerja pengorekan untuk mengeluarkan jasad mangsa.
"Bagaimanapun, operasi dihentikan seketika pada tengah hari sebelum disambung semula pada jam 1.45 petang.
"Jasad mangsa kemudian berjaya dialih keluar dari kawasan mangsa tertimbus dan seterusnya diusung keluar oleh pasukan SAR," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Tambah Jawai, usaha mengusung keluar mangsa memakan masa berikutan pasukan menghadapi kesukaran disebabkan laluan sempit.
Malah, katanya, mayat mangsa dijumpai pasukan SAR kira-kira 90 meter di dalam lubang tersebut dalam keadaan reput.
Jelasnya lagi, mayat mangsa berjaya dibawa keluar sekitar jam 3.56 petang tadi.
"Mayat mangsa akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Bau untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurut beliau, berikutan keadaan mayat yang sudah reput, proses pengecaman sukar dilakukan.
"Oleh itu, kita akan meminta ahli keluarga terdekat mangsa tampil untuk menjalankan ujian DNA," ujarnya.
Tegasnya, kes itu masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).
Sebelum ini, polis menerima laporan kehilangan mangsa pada 23 Ogos lalu daripada pihak Konsulat Indonesia dan operasi SAR hanya dapat dijalankan sejak 28 Ogos selepas ada saksi tampil membantu siasatan.