Isu tular libatkan Pusat Jantung Sarawak, JKNS jamin siasatan terperinci dilakukan

KUCHING-- Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memberikan jaminan bahawa siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti sekiranya betul wujud salah laku kakitangannya berhubung isu yang tular di media sosial berkaitan perkhidmatan yang diberikan di Pusat Jantung Sarawak.

Pengarahnya, Dr Veronica Lugah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum dan memandang serius tentang isu yang tular di media sosial berkaitan perkhidmatan yang diberikan di Pusat Jantung Sarawak.

"JKNS memberikan jaminan bahawa siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti sekiranya betul wujud salah laku kakitangan dan seterusnya mengambil maklum perkara-perkara yang wajar diambil tindakan untuk penambahbaikan mutu perkhidmatan di hospital," katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut isu itu, Dr Veronica berkata, Pusat Jantung Sarawak tidak melantik atau memperakui mana-mana pihak yang bertindak sebagai "runner" dalam mendapatkan Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (PPBP). 

Oleh itu, tegasnya, JKNS ingin mengingatkan masyarakat agar mendapatkan maklumat dan perkhidmatan hospital melalui saluran yang tepat.

Tentang PPBP, beliau memberitahu, Pusat Jantung Sarawak merupakan hospital kerajaan yang mengendalikan perkhidmatan itu.

"Pelaksanaan PPBP ini adalah tertakluk kepada Perintah Fi (Perubatan) (Pesakit Bayar Penuh). 

"Melalui PPBP pesakit akan dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi kerajaan bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan Pegawai Perubatan Pakar di hospital kerajaan," jelasnya.

Tambahnya lagi, PPBP ialah rawatan perubatan yang disediakan oleh institusi perubatan kepada pesakit di mana pesakit boleh memilih Pegawai Perubatan Pakar untuk merawatnya, dan kemudahan giliran untuk mendapat rawatan. 

Katanya, Fi akan dikenakan bagi setiap perkhidmatan termasuk fi pendaftaran, fi perundingan, fi penyiasatan, fi barangan guna habis dan pakai buang dan sebagainya. 

Menurut beliau PPBP boleh diperolehi melalui rujukan dari pengamal perubatan berdaftar (kerajaan atau swasta); atau pesakit hadir tanpa rujukan (self-referral). 

"Pesakit boleh mendapatkan tarikh temujanji dari klinik yang berkenaan sama ada melalui telefon atau hadir sendiri ke klinik tersebut. 

"Giliran temujanji boleh diberi pada hari yang sama jika terdapat kekosongan. 

"Walau bagaimanapun, perkhidmatan ini tidak menjejaskan giliran pesakit awam yang lain kerana kes PPBP akan berjumpa Pakar selepas konsultasi pesakit awam yang mempunyai temujanji pada hari tersebut diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Pada masa sama beliau memberitahu, prosedur melibatkan kes PPBP juga kebanyakannya dijalankan di luar waktu pejabat atau semasa hujung minggu.

"Pembayaran PPBP ini hendaklah dibuat di mana-mana kaunter bayaran mengikut yang ditetapkan oleh hospital.

"Resit rasmi bayaran akan dikeluarkan setelah semua bayaran dibuat oleh pihak hospital," ujarnya.

Terdahulu, seorang doktor kardiologis hospital swasta Dr Tang Sie Hing menggesa pengarah Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak untuk menyiasat segera mengenai aktiviti yang didakwa meminta bayaran 'pemudah cara' untuk mendapatkan perkhidmatan di situ.

Beliau juga berharap siasatan telus dapat dijalankan berhubung isu tersebut.
Next Post Previous Post