Insentif RM15,000 buat atlet Sarawak jika raih emas, tertinggi di Malaysia: Abg Jo

KUCHING-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan insentif sebanyak RM15,000 kepada atlet yang berjaya memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 XXI yang merupakan insentif tertinggi di Malaysia setakat ini.

Beliau memberitahu, ganjaran itu untuk menyuntik semangat semua atlet Sarawak dalam misi memburu gelaran juara keseluruhan temasya sukan itu pada edisi kali ini.

“Saya telah berbincang dengan rakan-rakan dalam Kabinet Negeri dan kita telah membuat keputusan untuk memberikan insentif sebanyak RM15,000 kepada atlet kita yang memenangi pingat emas. 

"Kalau mereka dapat pingat perak pula (insentifnya) RM5,000 dan pingat gangsa RM3,000.

"Ini bagi memberi suntikan semangat untuk mereka supaya mereka dapat jadikan sukan ini sebagai karier sama seperti Pandelela Rinong dan Bonnie Bunyau,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan perlawanan akhir acara Taekwando SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, kontinjen Sarawak buat masa ini mendahului carta kutipan pingat SUKMA Sarawak 2024 dengan merangkul tujuh pingat emas, empat perak dan lima gangsa.

“Kita hari ini berada di tangga pertama menerusi kutipan tujuh pingat emas, empat perak dan gangsa lima. Jumlah keseluruhan 16 pingat. Kita berada di puncak buat masa ini,” tegasnya.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan tetamu kehormat lain.
Next Post Previous Post