Henti perbalahan 31 Ogos, 16 September, mari bangun dan bina negara bersama-Abang Johari

SIBU-- Perbalahan tentang tarikh keramat kemerdekaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September harus dihentikan segera dan berikanlah tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina dan membangun negara, tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu, tarikh 31 Ogos mungkin membawa pengertian yang berbeza antara rakyat di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Namun, katanya, pengertian yang berlainan ini tidak harus menjadi halangan kepada rakyat antara ketiga-tiga wilayah ini untuk saling hormat menghormati dalam usaha bersama untuk membina Malaysia yang progressif dan utuh.  

"Apa yang lebih penting sebagai rakyat Malaysia dengan semangat “Segulai Sejalai’ ialah rakyat Sarawak dan Sabah menghormati tarikh ini sebagai tarikh yang begitu penting untuk rakyat di Semenanjung dan kepada negara, sama seperti menghormati tarikh 16 September yang amat penting kepada bukan sahaja kepada rakyat di Sabah dan Sarawak tetapi dan juga kepada negara keseluruhannya.

"Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang akur dengan pandangan yang berbeza ini mengenai tarikh 31 Ogos dan 16 September dan telah bersetuju supaya 31 Ogos tidak lagi dinamakan sebagai Hari Kemerdekaan tetapi dikenali sebagai Hari Kebangsaan sejak 2015. 

"Oleh itu, pada pandangan saya tarikh-tarikh ini tidak lagi harus dipolemikkan tetapi apa yang lebih penting ialah tarikh-tarikh tersebut dihormati dan difahami pengertiannya oleh semua rakyat negara ini supaya rakyat negara ini terus dapat memberi tumpuan kepada usaha pembinaan dan pembangunan negara. 

"Kita harus terus bergerak ke hadapan dan tidak dikongkong oleh sentimen tersebut dan mengabaikan tanggungjawab bersama kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, hari ini.

Majlis sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, turut dihadiri 1,500 tetamu.

Dalam pada itu, Abang Johari menyifatkan Malaysia merupakan 'keluarga besar' buat Sarawak.

"Para pemimpin kita terdahulu bersetuju untuk bergabung dengan wilayah-wilayah lain untuk menubuhkan Malaysia kerana tidak ingin melihat Sarawak dikuasai oleh kuasa dan ideologi lain selain daripada apa yang telah terbentuk dan menjadi amalan ketika berada di bawah pemerintahan British termasuk sistem politik dan pentadbirannya. 

"Namun, saya percaya apa yang menjadi perkiraan penting dan ikhlas para pemimpin pada ketika itu seperti Tun Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Tan Sri Ling Beng Siew dan Tun Abang Haji Openg ialah Sarawak harus mengorak langkah ke arah kemajuan seperti yang berlaku di Malaya pada ketika itu. 

"Setelah berada dalam Persekutuan Malaysia sejak 61 tahun yang lalu, tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak sudah jauh berubah daripada keadaan ketika itu," katanya.

Tambahnya, namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa banyak perkara yang masih belum tercapai dari segi pembangunan ekonomi dan infrastruktur. 

"Tetapi saya yakin Sarawak boleh mengejar pembangunan seperti yang dinikmati oleh rakyat di Semenanjung dalam suasana keluarga Malaysia yang besar di mana setiap wilayah diberi perhatian dan peluang yang secukupnya ke arah kemajuan yang seimbang antara wilayah. 

"Kalau Semenanjung maju, Sarawak dan Sabah juga maju, saya yakin negara ini akan menjadi lebih kukuh perpaduan rakyat dan wilayahnya," tegasnya.

Pada masa sama beliau memberitahu Sarawak harus terus berusaha gigih untuk membangunkan dan memberi nilai tambah kepada sumbernya. 

"Alhamdulilah, ke arah ini Sarawak mempunyai dasar yang jelas dan konkrit seperti yang terkandung dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCSDS 2030). 

"Saya amat yakin dengan pendekatan yang telah digariskan dalam PCDS 2030, Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang maju dan progressif, inklusif dari segi sosial dan lestari dari segi pemeliharaan alam sekitar," ujarnya.

Selain itu, Abang Johari berkata, sebagai sebahagian daripada Persekutuan, jalan yang akan mengwujudkan keadaan menang-menang kepada semua pihak ialah melalui perkongsian, kolaborasi dan kerjasama tanpa menidakkan hak mana-mana pihak.
 
Katanya, baru-baru ini Sarawak telah berjaya menjadi tuan rumah SUKMA Ke-21 walaupun 2024 bukan giliran Sarawak untuk menjadi tuan rumah. 

Namun, jelasnya, atas semangat kerjasama dalam gagasan Kerajaan Perpaduan Sarawak telah menyahut cabaran untuk menjadi hos pada tahun ini. 

"Alhamdullilah, Sarawak telah muncul sebagai juara keseluruhan dengan 76 pingat setelah menunggu 30 tahun. 

"Saya ingin juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah bersetuju dengan tawaran Sarawak untuk menjadi penganjur bersama untuk Sukan SEA pada 2027 dengan anggaran kos RM350 juta daripada RM700 juta keseluruhannya. 

"Saya percaya pada 2027, infrastruktur udara, khususnya syarikat penerbangan Sarawak sendiri sudah memulakan operasi untuk memudahkan lagi pergerakan ke Sarawak dan keluar Sarawak," katanya.

Tambahnya, beliau juga percaya menjelang 2027 sistem pengangkutan awam di Kuching, iaitu ART, juga sudah beroperasi untuk memudahkan pergerakan di sekitar bandaraya Kuching. 

"Di samping itu, saya yakin kemudahan sukan telah siap dinaiktaraf mengikut piawaian antarabangsa supaya Sarawak boleh menjadi tuan rumah yang sudah cukup bersedia untuk menganjurkan Sukan SEA, Insya-Allah," ujarnya.
Next Post Previous Post