Hasilkan 7,371 gambar dan 2,541 video pornografi kanak-kanak, pedofilia kekal dipenjara 50 tahun, 31 sebatan

KUCHING-- Seorang lelaki pedofilia yang hukuman penjara 50 tahun dan 31 sebatan kerana menghasil serta menyediakan 7,371 gambar dan 2,541 video pornografi kanak-kanak dengan telefon bimbitnya, gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman tersebut.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Leonard David Shim selepas menolak rayuan, Aladdin Lanim, berusia 43 tahun.

Beliau menjelaskan, Mahkamah Sesyen terdahulu tidak terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman terhadap perayu sebelum ini.

Jelas beliau, kesalahan yang dilakukan oleh perayu adalah serius dan sehubungan itu, rayuan perayu ditolak dan hukuman dikekalkan.

Pada Januari 2024, Hakim Iris Awen Jon mensabitkan Aladdin yang mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, masing-masing dengan penjara 22 tahun dan 10 sebatan, penjara lima tahun dengan tiga sebatan, penjara 13 tahun dengan lapan sebatan.

Bagi pertuduhan pertama, pedofilia terbabit didakwa menghasilkan pornografi kanak-kanak dalam bentuk video dan gambar dengan telefon bimbitnya dan didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017.

Manakala pertuduhan kedua pula, Aladdin didakwa mengikut Seksyen 6 SOACA 2017 kerana menyediakan bahan lucah kanak-kanak dengan telefon bimbitnya.

Sementara pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 7 SOACA 2017 kerana menggunakan budak lelaki berusia 13 tahun dalam penyediaan dan penghasilan pornografi terbabit.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukannya di sebuah kuarters di Biawak antara 13 Ogos 2018 dan 6 Disember 2020.

Selain itu, Hakim Musli Abdul Hamid terdahulunya mensabitkan perayu yang juga mengaku bersalah mengikut Seksyen 7 SOACA 2017 kerana menggunakan budak lelaki berusia sembilan tahun dalam penyediaan dan penghasilan pornografi pada 7 September 2019 sekitar jam 10.45 pagi, juga di kuarters sama.

Malah, dia juga diperintahkan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan terbabit. 

Mengikut fakta kes, pada 2021, polis menyerbu kuarters dan menahan Aladdin selepas mendapati telefon bimbitnya mengandungi sejumlah video lucah kanak-kanak dalam bentuk video dan gambar.

Hasil siasatan polis mendapati gambar dan video itu dihasilkan oleh Aladdin yang pernah menggunakan mangsa dalam produksi tersebut.

Dalam melakukan jenayah itu, dia memberikan seorang daripada mangsa satu lagi telefon bimbit supaya dia boleh bermain 'game,' manakala tertuduh merakam video dan mengambil gambar dirinya menghisap alat sulit kanak-kanak itu.

Difahamkan, terdapat sebanyak 7,371 gambar dan 2,541 video membabitkan mangsa dan beberapa kanak-kanak lain.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala perayu diwakili peguam Chai Yuen Hui.
Next Post Previous Post