Hak Sarawak terhadap kawasan luar pantai selaras perlembangaan, diperakui

KUCHING-- Hak Kerajaan Sarawak ke atas kawasan luar pantai selaras dengan peruntukan perlembagaan setelah diperakui Kerajaan Persekutuan yang seterusnya membolehkan negeri ini menjalankan penerokaan dalam industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah mencapai penyelesaian berhubung hak dan kuasa dalam mengurus serta menggunakan tanah di pelantar benua.

Jelasnya, perkara itu dibincangkan pada mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya baru-baru ini.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan mengenai kuasa dan tanah kita di pelantar benua seperti yang termaktub dalam Akta Pelantar Benua (Pindaan) 2009.

"Menerusi mesyuarat ini, telah diputuskan bahawa tanah adalah perkara di bawah kuasa perundangan dan eksekutif negeri yang tidak boleh diganggu gugat.

"Memang benar bahawa pelantar benua memanjang sehingga 200 batu nautika, tetapi di bawahnya ia tidak boleh menjejaskan bidang kuasa yang ada kepada negeri, sempadannya tidak boleh diubah. Ia perlu dihormati.

"Jadi kita berbincang tentang ayat terakhir itu, yang mana hak dalam sempadan negeri tidak boleh disentuh. Alhamdulillah kita telah menyelesaikan masalah itu," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Teh Jabatan Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Isnin lalu.

Abang Johari berkata, dengan penerokaan industri CCUS dan lain-lain perancangan ekonomi, Sarawak bakal mempunyai masa depan yang cerah.

Menurutnya, langkah seterusnya adalah untuk melatih pemimpin muda dalam menceburi aktiviti ekonomi baharu pada masa hadapan.

Pada majlis sama, beliau mengulangi bahawa Kolej Universiti i-Cats menawarkan kursus aeroangkasa di Kolej Universiti i-Cats pada September nanti.

“Kedudukan geografi Sarawak yang terletak di kawasan khatulistiwa sesuai dijadikan lokasi untuk mempelajari kursus aeroangkasa dan mini satelit,” katanya.

Tambahnya, fakulti aeroangkasa di Kolej Universiti i-Cats akan mempunyai 30 orang penuntut serta tenaga pengajar dari Universiti Tekonologi Malaysia (UTM), Singapura dan Amerika Syarikat yang bakal mewujudkan industri baharu dari sudut teknologi aeroangkasa.

Hadir sama ialah isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Timbalan-timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan serta tetamu kenamaan lain.

Gambar Kredit UKAS
Next Post Previous Post