Grid Kuasa ASEAN fokus tahun depan, perkukuh ketersambungan elektrik rantau ASEAN- TPM Fadillah
KUCHING-- Grid Kuasa ASEAN akan diberi tumpuan pada tahun depan bagi memperkukuh ketersambungan dan keselamatan tenaga elektrik di seluruh rantau ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia hasil maklum balas yang dicapai daripada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC ke-14 (EMM14) di Lima, Peru, pada 15 dan 16 Ogos 2024,
"Dari segi maklum balas pada mesyuarat kali ini terutama di peringkat ASEAN itu sendiri, kalau kita lihat semangat ASEAN begitu kuat sekali.
"Apa yang kita kongsi mereka sambut baik dan mereka setuju supaya pada tahun depan fokus Grid Kuasa ASEAN diberi tumpuan, yang bertujuan memperkukuh ketersambungan dan keselamatan tenaga elektrik di seluruh rantau ASEAN.
"Selain APEC saya telah mengambil kesempatan kehadiran di Lima, Peru, dengan turut memberi tumpuan kepada memperkukuhkan lagi hubungan antara negara ASEAN," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Tambah Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, hasil mesyuarat itu juga telah mengeluarkan ‘Lima Statement’, Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri Tenaga APEC Ke-14 .
Jelasnya, 'Lima Statement’ itu menekankan komitmen ekonomi APEC untuk meningkatkan kerjasama dan kolaborasi ke arah memacu pembangunan tenaga secara menyeluruh dan lestari di rantau Asia-Pasifik.
"Alhamdulillah semangat ASEAN begitu kuat sekali pada Mesyuarat EMM14 di Lima, Peru, selain kejayaan mesyuarat itu sendiri yang telah mengeluarkan ‘Lima Statement’ - Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri Tenaga APEC Ke-14 .
"Selain menyuarakan pandangan Malaysia dalam tiga sesi intervensi pada mesyuarat EMM14 APEC selama 2 hari itu, saya turut mengambil kesempatan bertemu rakan-rakan ASEAN.
"Saya telah mengadakan pertemuan dan perbicangan dua hala dengan Low Yen Ling (Singapore Senior Minister of State for the Ministry of Trade and Industry and Ministry of Culture, Community and Youth) ; Pehin Halbi; (Brunei’s Minister at the Prime Minister’s Office and Minister of Defence II) dan Nguyen Hoang Long (Vietnam Deputy Minister of Industry and Trade).
"Selain itu saya juga ada bertemu wakil Indonesia - Prof. Dr. Eng. Eniya Listiani Dewi (Indonesia Director General Ministry of Energy and Mineral Resources) ; Filipina - Felix William B. Fuentebella (Undersecretary for Policy and Planning, Department of Energy) dan
Thailand - Mr. Petai Mudtham (Head of Inspector General Ministry of Energy), pada mesyuarat berkenaan," ujarnya.