Empat termasuk wanita warga asing ditangkap bersama 105.02 kg syabu bernilai lebih RM3 juta

MIRI-- Empat individu diberkas bersama 105.02 kilogram dadah syabu bernilai RM3,360,640 di dua lokasi berasingan di Bandar Baru Permyjaya di sini pada Sabtu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, kesemua suspek ditangkap antara jam 1.15 petang hingga 1.40 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

"Berdasarkan maklumat risikan, pasukan telah melancarkan operasi khas di dua lokasi berasingan di Bandar Baru Permyjaya.

"Dalam operasi khas ini tiga lelaki tempatan berusia 32 hingga 52 tahun telah ditangkap yang mana dua daripada suspek lelaki tempatan berusia 32 dan 36 tahun mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah.

"Selain itu, seorang suspek wanita berusia 26 tahun juga ditangkap di mana kesemua suspek didapati positif methamphetamine dan amphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini

Jelas Mancha, dalam operasi khas itu, polis turut merampas dadah seberat 105.02 kilogram jenis syabu bernilai RM3,360,640.

Tegasnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk 525,100 orang penagih.

Selain itu, katanya, polis turut menyita sebuah kereta jenis Ford Focus bernilai RM39,000.

Mengulas lanjut, Mancha memberitahu, modus operandi mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah dari semenanjung Malaysia melalui jalan laut.

"Suspek menggunakan rumah kediaman sebagai tempat penyimpanan dadah dan akan menyerahkan dadah kepada pembeli berdasarkan arahan ketuanya.

"Suspek menerima upah di antara RM3,500 hingga RM12,000 sebulan," dedahnya.

Katanya lagi, kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Suspek direman tujuh hari bermula 25 Ogos hingga 1 September 2024 untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 12 sebatan.

Justeru, beliau menegaskan JSJN Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memerangi jenayah dadah habis-habisan kerana ia musuh nombor satu negara.

"Saya berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222," ujarnya.
Next Post Previous Post