Dua rentung dalam nahas libatkan tiga kenderaan

KOTA KINABALU-- Dua rentung dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga kenderaan di Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, dua mangsa yang rentung tidak dikenal pasti identitinya, menaiki kereta Perodua Axia yang terbakar 100 peratus akibat kemalangan itu.

Katanya, bomba menerima panggilan sekitar jam 2.30 pagi tadi berhubung kemalangan itu dan telah mengerahkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu serta bantuan BBP Putatan ke lokasi kejadian bersama jentera FRT, kenderaan Unit EMRS dan sebuah motosikal Unit RIM.

"Komander Operasi, PBK II Asama Saruddin melaporkan, kemalangan itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Axia, Perodua Viva dan Toyota Hilux. 

"Salah sebuah kenderaan iaitu Perodua Axia telah mengalami kebakaran ketika pihak bomba tiba di lokasi dan hangus 100 peratus berpunca daripada kemalangan yang berlaku. 

"Terdapat dua orang mangsa yang tidak dapat dikenalpasti identitinya telah rentung di dalam kenderaan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, sejumlah 13 anggota bomba yang hadir di lokasi kejadian telah bertindak menjalankan operasi pemadaman kebakaran dengan menggunakan salur bantu mula daripada jentera Bomba.

Tambahnya, kedua-dua mangsa yang rentung berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan Bomba dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, katanya dua lelaki yang cedera iaitu pemandu Viva berusia 34 tahun dan pemandu Hilux berusia 22 tahun diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 pagi," ujarnya.

Kes masih dalam siasatan polis.
Next Post Previous Post