Dua maut, seorang kritikal, bilik enjin sebuah kapal meletup di perairan Samalaju

BINTULU -- Dua menemui maut manakala seorang lagi kritikal selepas bilik enjin sebuah kapal laut meletup di perairan Samalaju pada jam 10.40 malam Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima makluman berhubung insiden pada jam 2 pagi tadi.

Kesemua mangsa yang terlibat katanya merupakan warganegara Malaysia yang mana mangsa maut yang belum diketahui identiti itu berusia 24 dan 36 tahun manakala yang dalam keadaan kritikal pula berusia 22 tahun.

"Maklumat awal yang diterima mendapati insiden yang berlaku melibatkan bilik enjin kapal Supply Amara di perairan Samalaju yang terletak 23 batu nautika dari pantai Samalaju," ujarnya.

Dalam insiden yang berlaku jelasnya, kesemua 16 orang anak kapal yang merupakan pekerja pelantar minyak atas kapal terbabit dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat di bahagian bawah kapal.

Semua mangsa kemudiannya bertindak turun ke bahagian bawah dan mendapati bilik enjin berasap kuat manakala pintu utama bilik enjin tercabut keluar akibat letupan yang berlaku. 

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu manakala seorang lagi mangsa yang berada dalam kritikal diberika rawatan di Wad Kecemasan Hospital Bintulu.
Next Post Previous Post