Dua kanak-kanak disangka hilang ketika beli pau rupa-rupanya terperangkap dalam lif

KUCHING-- Dua kanak-kanak lelaki yang disangkakan hilang ketika keluar membeli pau semalam rupa-rupanya terperangkap dalam lif di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur.

Menurut ibu mangsa menerusi akaun Facebooknya, Fospaliza Md Sariff, anaknya Faiq Adiwira berusia 11 tahun keluar rumah untuk membeli pau sekitar jam 2 petang bersama kawannya Absyar berumur 10 tahun.

Namun, katanya, kedua-dua kanak-kanak terbabit tidak pulang selepas jam 7 malam seperti kebiasaannya.

Susulan kejadian itu, ibu terbabit membuat hantaran di media sosialnya memohon orang ramai bersama-sama mencari anaknya.

Bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak terbabit berjaya ditemukan dalam keadaan selamat yang telah terperangkap dalam lif taman berkenaan.

"Alhamdulillah (anak dan rakannya) selamat sampai rumah, tersekat dalam lif dari jam 2.15 petang hingga jam 1 pagi," kongsi ibu kanak-kanak terbabit.

Kehilangan kedua-dua kanak-kanak terbabit turut mengemparkan penghuni Taman Desa Petaling dan pencarian turut disertai pengawal keselamatan di taman berkenaan.

Hasil penelitian kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan taman berkenaan termasuk CCTV dalam lif mendapati kedua-dua kanak-kanak berkenaan terperangkap dalam lif di situ.

"Kedua-dua mereka dilihat berbaring dalam lif tersebut kerana kepenatan. Syukur mereka selamat," kata sumber.

Sehubungan itu, orang ramai menggesa pihak yang menyelenggara lif dan pihak keselamatan agar memantau dan bertindak lebih cepat jika berlakunya kecemasan seperti itu bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Sejak akhir-akhir ini, kes melibatkan kehilangan kanak-kanak kerap dipaparkan dalam akhbar hingga menyebabkan kebimbangan dalam masyarakat.

Kes terbaru yang tragis melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan maut dipercayai dibunuh dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput.

Mayat Nuraina Humaira Rosli, murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu, dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan sekitar jam 4.20 petang.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata, mayat mangsa ditemukan antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit.

Dalam kes ini, suspek seorang Remaja lelaki berusia 17 tahun ditangkap disyaki terlibat dan direman tujuh hari.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan membenarkan permohonan polis untuk tahan reman suspek berusia 17 tahun bermula semalam hingga 25 Ogos depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post