Dendam kesumat: Lelaki simbah petrol pada kereta wanita ditangkap di Kampung Mang

KOTA SAMARAHAN -- Angkara dendam kerana pernah dilaporkan kes curi, seorang lelaki yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau bertindak menyimbah petrol pada kereta seorang wanita diberkas polis di Kampung Mang, Jalan Meranek di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata, suspek merupakan warga tempatan berusia 37 tahun ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kota Samarahan di Kampung Mang, Jalan Meranek disyaki kerana disyaki melakukan ugutan jenayah. 

"Kes melibatkan ugutan jenayah. Suspek masih berdendam sebab pengadu pernah membuat laporan polis terhadapnya pada 2023 berkaitan kes curi.

"Suspek dipercayai simbah petrol di kereta yang dipandu oleh isteri pengadu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, semakan rekod jenayah mendapati mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. 

Tambahnya, suspek kini telah ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah yang memperuntuk hukuman penjara maksimun dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Sekiranya orang ramai ada maklumat berkaitan jenayah boleh kongsi dan salurkan maklumat anda di balai polis berhampiran. 

"PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," tegasnya.
Next Post Previous Post