Dasar pendidikan tinggi percuma untuk pengajian sains dan teknikal, tidak rangkumi semua bidang pengajian
SIBU-- Dasar pendidikan tinggi percuma yang akan diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak pada 2026 tidak merangkumi semua bidang pengajian, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau menjelaskan, dasar pendidikan percuma itu akan memberi tumpuan khusus kepada pengajian dalam bidang sains dan teknikal.
"Kita tidak mahu menghantar pelajar ke universiti hanya untuk mereka pulang tanpa mendapat pekerjaan.
"Ini bukan sahaja merugikan mereka tetapi juga boleh menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.
"Jadi kita tidak mahu perkara itu berlaku. Kita mahu mereka berusaha sehabis dan sebaik mungkin untuk mengikuti kursus yang mempunyai masa depan berdasarkan perancangan dan dasar kerajaan,” katanya dipetik menerusi laporan The Borneo Post.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan penutupan 'Kemahiran Masa Depan Untuk Semua' Zon Tengah 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanang di sini hari ini.
Tambah Sagah, inisiatif itu mengutamakan kursus yang dianggap mempunyai potensi tinggi untuk menjana peluang pekerjaan.
"Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) telah menjelaskan bahawa penekanan adalah pada kursus sains dan teknikal," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi pelajar aliran sastera seperti yang mengambil kursus dalam perakaunan, undang-undang dan kewangan, ia disenaraikan dalam dasar tersebut.
Namun, katanya, perhatian utama tetap pada bidang yang memerlukan kepakaran teknikal.
Jelasnya lagi, keputusan ini diambil berikutan kebimbangan mengenai peningkatan bilangan graduan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.
Katanya, kepentingan kursus teknikal berkaitan dengan industri yang sedang dibangunkan di Sarawak seperti pengeluaran hidrogen dan penyimpanan karbon.
“Ekonomi kita berharap untuk berkembang melalui sumber-sumber ini, dengan memilih kursus yang tepat, graduan akan mempunyai peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan gaji yang lebih tinggi,” tambah beliau yang turut menolak pandangan bahawa semua bidang pengajian adalah sama penting untuk masa depan negeri.
Tegas Sagah, penekanan kini adalah pada kursus teknikal kerana bidang ini semakin mendesak.
Katanya, Sarawak tidak mungkin akan mempunyai tenaga kerja mahir seperti dalam industri penghasilan hidrogen jika anak muda tidak diterapkan dengan ilmu asas sains.
Justeru, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus membimbing pelajar dalam memilih kursus yang menawarkan peluang kerjaya yang lebih baik, selaras dengan usaha negeri untuk mencapai kemakmuran ekonomi.