Chong terkejut dasar pendidikan tinggi percuma hanya untuk kursus tertentu

KUCHING-- Kerajaan Sarawak tidak seharusnya memungkiri janji dalam memberi pendidikan tinggi percuma kepada semua anak Sarawak pada 2026 yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat universiti.

Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen berkata, dasar pendidikan tinggi percuma itu sering diuar-uarkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sejak setahun lalu yang mengatakan ia diberikan kepada anak Sarawak yang berjaya melanjutkan pengajian tinggi di semua institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

Justeru, kata ADUN Padungan itu, kenyataan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berhubung pendidikan tinggi percuma hanya ditawarkan kepada pelajar yang mengambil jurusan sains dan teknikal sesuatu yang amat mengejutkan.

"Janji ini telah berulang kali dibangkitkan oleh Premier Sarawak dan pemimpin GPS lain sejak tahun lalu dan telah berulang kali memberitahu rakyat Sarawak bahawa kerajaan Sarawak akan menyediakan pendidikan tinggi percuma untuk semua rakyat Sarawak yang belajar di empat universiti milik kerajaan negeri menjelang 2026,” kata Pengerusi DAP Sarawak itu dalam kenyataan media hari ini.

Empat universiti milik Sarawak itu ialah Universiti Curtin Malaysia Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak, dan Kolej Universiti i-CATS.

Chong memetik Abang Johari sebagai berkata: "Menjelang tahun 2026, sama ada mereka miskin atau kaya, mereka akan mendapat pendidikan tinggi percuma selagi mereka layak belajar di institusi milik kerajaan."

Jelasnya, dijangka kira-kira 25,000 pelajar Sarawak akan mendapat manfaat daripada dasar itu.

“Bagaimanapun, sebelum pelan itu dilaksanakan, ramai yang terkejut membaca kenyataan Roland Sagah, mengatakan bahawa pendidikan tinggi percuma ‘bukan’ untuk semua kursus.

“Alasan yang Sagah berikan ialah beberapa kursus tidak mempunyai potensi tinggi untuk peluang pekerjaan, dan ini hanyalah alasan yang pincang.

"Sekiranya kerajaan berpendapat bahawa kursus-kursus tertentu mempunyai potensi kecil untuk peluang pekerjaan, maka universiti-universiti harus mendaftarkan lebih sedikit pelajar untuk kursus-kursus tersebut pada mulanya," tegasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan Sarawak juga boleh mendapatkan anggaran jumlah kos untuk setiap program.

Mengambil kira anggaran 25,000 pelajar yang belajar di empat universiti dan satu pusat pengajian tinggi, kecuali ijazah perubatan dan pergigian, Chong menjelaskan purata kos tahunan ijazah seni adalah lebih kurang RM20,000, manakala purata ijazah sains dengan kerja makmal adalah lebih kurang RM30,000.

“Ambil angka purata RM25,000 setahun untuk 25,000 pelajar, anggaran kos menyediakan pendidikan percuma untuk semua 25,000 pelajar Sarawak setahun adalah kira-kira RM625 juta setahun.

“Memandangkan negeri ini mempunyai hasil tahunan lebih daripada RM10 bilion, orang menjangkakan kerajaan negeri mampu membelanjakan jumlah ini, dan lagipun, ia adalah untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Justeru, Chong menggesa kerajaan Sarawak agar lebih telus dalam merancang dan melaksanakan sesuatu dasar untuk rakyat.

“Jika tiada alasan kukuh disediakan, maka teruskan dengan janji menyediakan pendidikan tinggi percuma untuk semua,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, bantuan seumpama itu boleh diberikan kepada mana-mana universiti di Sarawak dan bukan hanya institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
Next Post Previous Post