Chong puji inisiatif pengambilan khas guru di Sarawak tetapi kritik pelaksanaan sekolah antarabangsa yang didakwanya perlahan

KUCHING-- Inisiatif kerajaan Sarawak dalam menangani masalah kekurangan guru dengan membuat pengambilan khas guru di negeri ini yang bermula hari ini mendapat pujian Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Bagaimanapun, beliau mengkritik kemajuan sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri yang disifatnya perlahan.

"Penting untuk memastikan individu yang berkelayakan dan kompeten dipilih untuk mengisi jawatan tersebut di 1,000 sekolah rendah dan lebih 200 sekolah menengah di seluruh negeri.

"Namun, proses pengambilan sangat perlahan, terutama jika diambil kira dengan kewujudan beberapa (lima) sekolah antarabangsa (di bawah Yayasan Sarawak) di negeri ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.

Chong berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai inisiatif kerajaan Sarawak itu yang diumumkan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada sidang media Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 Negeri Sarawak bagi tahun 2024 di Bangunan Sarawak Skills, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau mendakwa idea sekolah antarabangsa yang dilaksanakan kerajaan Sarawak adalah cadangan daripada DAP Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri bebeberapa tahun lalu.

"DAP telah mencadangkan untuk menubuhkan lebih banyak projek perintis sekolah antarabangsa dilaksanakan di negeri ini.

“Bagaimanapun, perkembangannya telah tertangguh dan sekarang ia berjalan sangat perlahan dan memberi kesan kepada pelajar," tambahnya.

Selain itu, Chong turut mempersoalkan mengapa cadangan pengambilan khas itu baru dijalankan sekarang?

Malah, beliau mendakwa pengambilan khas itu untuk memenuhi keperluan sekolah antarabangsa tersebut.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah bersetuju untuk menggunakan kumpulan guru tambahan di bawah Pengambilan Khas Sarawak dalam usaha menangani kekurangan guru di seluruh negeri.

"Pengambilan khas ini terbuka kepada semua graduan ijazah sarjana muda tanpa mengira bidang.

"Calon yang berjaya akan menerima kontrak selama dua tahun dan menjalani Diploma Pendidikan menggunakan pembiayaan sendiri di institut pendidikan guru (IPG) melalui Kursus Dalam Cuti (KDC)," kata Sagah.

Jelas Sagah lagi, selepas memperoleh Diploma Pendidikan, mereka akan ditawarkan jawatan mengajar tetap, tertakluk kepada saringan akhir oleh SPP.

Tambahnya, Pengambilan Khas Sarawak mengutamakan calon dari kawasan yang terdapat kekosongan bagi mengelakkan isu guru meminta pertukaran keluar dari sekolah yang ditugaskan selepas pelantikan dan penempatan.
Next Post Previous Post