Cadangan promosi SUKMA menerusi mural baik tetapi perlu kebenaran, bayar pemilik bangunan
KUCHING-- Promosi Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 menerusi lukisan mural di bangunan-bangunan komersial seperti di Lebuh India perlu persetujuan pemilik premis.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selain persetujuan pemilik bangunan, kemungkinan ada bayaran dikenakan oleh pemilik sebelum dibenarkan melukis mural berkaitan SUKMA XXI di dinding premis-premis berkenaan.
Jelasnya, disebabkan itu, pihak yang mengurus penganjuran SUKMA mengambil inisiatif lain untuk mempromosikan temasya sukan itu.
"Bangunan-bangunan di bandar raya ini mempunyai pemiliknya, kalau nak lukis mural untuk promosi SUKMA perlu mendapatkan kebenaran mereka dan mungkin ada bayaran dikenakan.
"Jadi kita guna alternatif lain untuk mempromosikan SUKMA ini iaitu di kawasan-kawasan milik kerajaan dan sebagainya yang tidak dikenakan bayaran untuk mempromosikannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan untuk menjadikan mural sebagai paltform mempromosikan SUKMA pada sidang media Persidangan dan Ekspo Global Kraf Borneo di sini hari ini.
Jelas Abdul Karim lagi, pihaknya lebih memilih kaedah yang lebih berhemat dalam mempromosikan SUKMA di negeri ini.
Temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini, bakal menjadi yang terbesar dalam sejarah penganjurannya dengan lebih 12,000 atlet akan berkampung di sembilan bahagian di negeri ini untuk menyertai 37 sukan yang dipertandingkan.