Bot karam, tiga pelajar hilang
LUNDU -- Tiga pelajar, dua perempuan dan seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas perahu tambang yang dinaiki mereka karam di Sungai Kayan Kampung Selampit awal pagi tadi.
Adalah difahamkan semasa kejadian sekitar jam 6.10 pagi itu, dianggarkan antara 10 ke 20 orang pelajar berada dalam perahu berkenaan.
"Bagaimanapun tiga pelajar didapati hilang dalam sungai selepas berlakunya insiden," ujar Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu bergerak ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.33 pagi.
Sampai di lokasi jelasnya, pasukan bomba mendapati berlakunya insiden perahu tambang karam di kawasan terbabit.
"Pencarian awal yang dimulakan pada hari ini dilakukan dengan menggunakan teknik surface searching yang mana turut mendapat bantuan daripada orang kampung," ujar beliau.
Sebarang perkembangan terbaru berhubung usaha pencarian akan dimaklumkan dari masa ke semasa.