Bomba ambil masa 2 jam padam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Pujut Sungai Adong
MIRI -- 7 sekeluarga hilang tempat berteduh selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dengan bantuan BBP Miri bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 9.46 pagi.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat struktur separuh kekal yang hampir musnah keseluruhannya dalam kebakaran," jelasnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran bantu mula satu aliran 300 kaki satu nozel bagi memadam kebakaran yang berlaku.
Setelah dua jam memadam kebakaran yang berlaku api akhirnya berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 12.05 tengah hari.
Mujurlah jelasnya kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Setelah api terpadam sepenuhnya, maka pasukan bomba menamatkan operasi sebelum bertolak balik ke balai.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami penghuni rumah bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.