Abg Jo tegaskan komitmen Sarawak dalam membangunkan tenaga bersih, pacu ekonomi hijau di ASEAN

SYDNEY-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan komitmen Sarawak dalam memacu ekonomi hijau di rantau ini menerusi pembangunan tenaga bersih.

Beliau memberitahu Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) yang diperkenalkan telah mewujudkan asas yang kukuh untuk ekonomi yang berdaya tahan dan mampan, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan penjagaan alam sekitar.

"Dasar Ekonomi Hijau Sarawak memfokuskan kepada tiga matlamat utama, pertamanya melindungi kepelbagaian biologi dan sumber unik Sarawak dengan dedikasi semulajadi yang lengkap.

"Kedua, Sarawak katanya berhasrat untuk meningkatkan kualiti hidup setiap rakyat negeri ini sambil menghormati dan memelihara budaya aslinya yang kaya.

"Sarawak juga komited untuk memupuk pertumbuhan inklusif melalui penggunaan sumber yang mampan serta memastikan pertumbuhan ekonomi tidak membawa kepada penggunaan sumber berlebihan dan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Australia-ASEAN yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) di Sydney, Australia hari ini.

Tambah Abang Johari, bagaimanapun Dasar Ekonomi Hijau Sarawak bukanlah matlamat akhir tetapi perjalanan transformatif yang menghimpunkan pelbagai aspek seperti dasar, tadbir urus dan pembangunan untuk memacu perubahan sebenar.

“Sarawak telah mengorak langkah yang ketara di Asia Tenggara apabila berkaitan dengan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

“Kita di Sarawak juga yang pertama di Malaysia meluluskan undang-undang yang menyokong CCUS dan aktiviti berkaitan karbon lain. 

“Ini menunjukkan komitmen kuat kami untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih dan menetapkan penanda aras untuk diikuti oleh orang lain,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu Sarawak mempunyai kapasiti untuk menjana sehingga 15 gigawatt (GW) campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035 daripada pelbagai sumbernya.

Malah, katanya, Sarawak sedang giat meneroka kaedah inovatif untuk memanfaatkan tenaga melalui potensi kuasa hidro, solar, biojisim, bahan api mampan dan hidrogen.

"Peralihan Sarawak kepada ekonomi hijau amat bergantung kepada tenaga mampan, sekali gus memerlukan matlamat bercita-cita tinggi untuk mencapai gabungan tenaga boleh diperbaharui 10GW menjelang 2030. 

"Tetapi kita boleh menghasilkan sehingga 15GW menjelang 2035," katanya. 

"Usaha ini akan mewujudkan landskap dinamik untuk pelabur yang berminat dalam penyelesaian tenaga mampan dan boleh diperbaharui," ujarnya.

Forum Perniagaan Australia - ASEAN itu diadakan dari 29 hingga 30 Ogos mengumpul pelbagai penceramah untuk berkongsi kepakaran mereka dalam pelbagai isu seperti pertanian, keselamatan makanan, tenaga hijau dan diperbaharui, inovasi dan transformasi digital.

Turut mengiringi Premier Sarawak ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman. 

Terdahulu Premier Sarawak bersama delegasi Kerajaan Sarawak mengadakan perjumpaan bersama Timbalan Menteri Perdagangan dan Pembuatan Australia, Senator Tim Ayres dan delegasi dari Australia. 

Selain itu, Abang Johari turut menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Australia-Sarawak Business Council (AMBC) dan Dewan Perniagaan Sarawak-Australia (SABC). 

SABC diwakili oleh Presidennya, Rodger Chan Siong Boh dan AMBC NSW oleh Presidennya, Philip Low.

Objektif utama MoU itu adalah untuk mewujudkan perkongsian strategik antara AMBC New South Wales (NSW) dan SABC untuk mempermudah dan mempromosikan aktiviti perdagangan, pelaburan dan perniagaan antara Sarawak dan Australia. 
Next Post Previous Post