39 individu termasuk dua tokan dadah di Lawas dicekup

KUCHING-- Seramai 39 individu termasuk tokan dadah ditangkap dalam Operasi Tapis Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di Lawas bagi tempoh 28 Julai hingga 1 Ogos.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 52 tahun, terdiri daripada 36 lelaki dan tiga perempuan ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah.

"Dalam operasi ini, sejumlah 77 pemeriksaan telah dijalankan melibatkan tujuh kampung, dua kawasan perumahan dan dua kawasan awam.

"Operasi khas ini bertujuan mengesan dan menangkap tokan-tokan dadah, memusnahkan pot-pot penagihan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih-penagih tegar; dan mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang telah dikenal pasti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut suspek-suspek yang ditangkap, Mancha berkata, dua daripada adalah tokan dadah, 31 penagih dan enam lagi lain-lain kesalahan.

Jelasnya, suspek-suspek ini ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Tambahnya, dalam operasi itu juga, sebanyak 88.75 gram dadah syabu, 3.7 gram dadah ganja dan 0.64 gram dadah ketamin yang dianggarkan bernilai RM10,001.50 dirampas.

"Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 500 orang penagih dadah," tegasnya.

Dalam pada itu, Mancha memberitahu, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Julai 2024, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah melaksanakan 6,673 tangkapan termasuk 338 tokan dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM12,352,059.22 dan menyita harta disyaki hasil pendapatan pengedaran dadah bernilai RM3,204,633.15.

"PDRM khususnya JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah. 

"PDRM berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah yang berlaku di sekeliling mereka yang mana maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN di talian 012-2087222," ujarnya.
Next Post Previous Post