30 "atlet sukan tradisi" dicekup ketika leka sabung ayam

MUKAH-- Tatkala SUKMA Sarawak sudah melabuh tirai pada Sabtu lalu, "sukan tradisi" sabung ayam masih berlangsung di Mukah yang menyaksikan 30 individu dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata suspek-suspek terdiri daripada 28 lelaki dan dua wanita berumur antara 25 hingga 81 tahun, ditangkap pada Ahad apabila disyaki terlibat dalam perjudian sabung ayam.

"Hasil maklumat awam mengenai aktiviti perjudian sabung ayam, daun terup dan holo, satu serbuan oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mukah dijalankan.

"Serbuan dijalankan sekitar jam 3 petang melibatkan kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Balingian-Mukah, Balingian.

"Walaupun sebahagian daripada suspek cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, polis berjaya menangkap kesemua mereka," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Selain tangkapan, Muhamad Rizal berkata, polis turut merampas 18 ekor ayam hidup, dua ekor ayam mati, dua bilah taji ayam, satu unit alat penimbang, pelbagai peralatan perjudian dan wang tunai berjumlah RM42,090.

Tegasnya, kesemua suspek ditangkap disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Veterinar Kesihatan Awam 1999 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang masing-masing memperuntukkan hukuman denda atau penjara.

Malah, tambahnya salah seorang suspek, yang merupakan warga asing, turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Jelasnya, kesemua suspek direman hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Justeru, beliau menggesa orang awam untuk melaporkan sebarang maklumat jenayah melalui talian hotline IPD Mukah 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Next Post Previous Post