26 keluarga hilang tempat berteduh, rumah panjang Tuai Rumah Spencer Ulu Sebetan Saratok ranap terbakar
SARATOK -- 26 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang Tuai Rumah Spencer di Ulu Sebetan ranap terbakar dalam kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dengan bantuan BBP Sarikei bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 12.48 tengah hari.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan bangunan dua tingkat rumah panjang jenis separa kekal itu," jelas beliau.
Pada masa sekarang, pasukan bomba dengan bantuan PBS Roban sedang giat memadam kebakaran yang berlaku.
Mujurlah kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri.
Setakat ini, kebakaran yang berlaku dilaporkan telah memusnahkan keseluruhan struktur rumah panjang dua tingkat berkenaan.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami penduduk rumah panjang masih lagi belum diketahui.