21 nelayan Vietnam dijatuhkan hukuman denda RM3 juta kerana ceroboh perairan negara

MIRI -- Seramai 21 nelayan warga Vietnam telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM3 juta oleh Mahkamah Sesyen Miri kerana menceroboh perairan negara, pagi semalam, kata Pengarah Zon Maritim Miri, Mohd Khairol Anuar Saad.

Jelasnya dalam kenyataan hari ini, keputusan itu dibuat oleh hakim Puan Azreena Aziz selepas dua pertuduhan dibacakan kepada kesemua tertuduh berusia di antara 22 hingga 55 tahun selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

"Dalam pertuduhan pertama, Hakim telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 ribu atau penjara selama enam bulan kepada tekong dan denda sebanyak RM100 ribu atau penjara selama empat bulan kepada 18 awak-awak bagi vesel penangkapan ikan asing yang telah ditahan oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," ujarnya.

Manakala pertuduhan kedua pula katanya, tekong didenda sebanyak RM500 ribu atau penjara selama enam bulan dan seorang awak-awak didenda sebanyak RM200 ribu atau penjara selama empat bulan bagi vesel penangkapan ikan asing yang turut 
ditahan pihak Maritim Malaysia.

Mahkamah ujarnya turut memerintahkan hasil lelongan minyak diesel dan tangkapan laut dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

"Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa menceroboh perairan negara pada jarak 70 batu nautika dari barat laut Tanjung Lobang, Miri pada pukul 2.00 petang dan 5.40 petang, 30 Jun lalu," jelas Mohd.

Dalam pada itu katanya, pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Yong Ann Nee, manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Ranbir S Sangha.
Next Post Previous Post