16 jambatan bernilai RM4.9 bilion giat dibina di Sarawak, dibiaya kerajaan negeri-Uggah
KUCHING-- Enam belas jambatan giat dibina di seluruh negeri melibatkan kos berjumlah RM4.90 bilion, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau memberitahu, kesemua projek jambatan itu dibiayai menggunakan dana negeri.
"Sektor infrastruktur negeri bertambah baik dengan pesat berikutan usaha komited kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak).
"Untuk rekod, kami sedang membina 16 jambatan di seluruh negeri dengan kos RM4.90 bilion, semuanya dibiayai oleh dana negeri sendiri.
"Setelah semuanya siap sepenuhnya, perjalanan dari Kuching ke Limbang akan berjalan lancar tanpa perlu menyeberangi feri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerjanya di Balingian, Mukah hari ini.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri MIPD Datuk Aidel Lariwoo, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yaw dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris.
Projek jambatan-jambatan tersebut adalah Pakej ketiga Jambatan Batang Paloh, Pakej D5 Jambatan Batang Igan, Pakej 5 Jambatan Jepak-Bintulu Menyeberangi Kuala Kemena, Jambatan Sebauh, Jambatan Sungai Marudi, Jambatan Sungai Limbang, Pakej 02 Jambatan Batang Saribas, Pakej A4 Jambatan Batang Saribas No.2 di Kuala Saribas, Pakej D4 Jambatan Sungai Krian, Pakej 01 Jambatan Batang Rajang dan Pakej 04 Jambatan Muara Lassa.
Selain itu, Pakej D1 Jambatan Batang Rambungan, Pakej D3A Jambatan Menyeberangi Sungai Sarawak di Sejingkat, Pakej D2B Batang Lupar No.1, Pakej B3 Jambatan Batang Lupar No.2 di Bandar Sri Aman dan Pakej B1A Jambatan Sungai Lingga.
Mengulas mengenai jalan pesisir pantai, dari Mukah ke Bahagian Bintulu, Uggah juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) berkata kebanyakan pakej pembinaan sepanjang 136.95 kilometer telah siap.
“Pakej ini menelan belanja RM1.614 bilion untuk dilaksanakan serta tiga jambatan iaitu Jambatan Paloh dan Batang Igan (akan siap pada penghujung 2025) dan Jambatan Muara Lassa yang dijangka siap akhir tahun ini.
"Dengan siapnya projek tersebut, pengguna jalan raya yang menggunakan jalan ini tidak perlu menggunakan feri seperti sekarang,” jelasnya
Tambahnya lagi, dua jalan di sepanjang jalan ini yang perlu dinaik taraf, ibu pejabat JKR telah bersetuju untuk memperuntukkan sejumlah RM16 juta.
Beliau berkata kerja-kerja itu tidak lama lagi dimulakan sebaik sahaja kontraktor dilantik.
Dalam pada itu, Uggah menegaskan, pihaknya sentiasa dan akan terus memantau kemajuan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.
"Ini penting bagi menghentikan sebarang projek daripada ditangguhkan dan menjadi projek sakit bahkan kritikal," katanya.
Beliau telah memulakan lawatan turun padang selama lima hari melalui jalan darat sejak Isnin lalu di mana destinasi pertama yang lawati adalah bahagian Miri diikuti Bintulu (semalam) dan hari ini Mukah (Balingian).
“Esok, saya akan berada di Kapit sebelum kembali ke Sibu dan pada hari Jumaat ke bahagian Sarikei,” katanya dalam lawatan kerja itu di Balingian hari ini.
Bercakap kepada media selepas menghadiri taklimat mengenai status pelaksanaan dua projek naik taraf jalan di jalan pesisir dari Bintulu ke Mukah di pejabat daerah kecil di sini, beliau menyifatkan lawatan itu sebagai sangat bermanfaat dan informatif.
“Hampir 80 peratus kawasan Sarawak kami kunjungi. Timbalan saya, Aidel telah melawat kawasan Limbang/Lawas lebih awal.
“Di Miri dan Bintulu, kami telah berinteraksi dengan wakil-wakil rakyat dari kawasan luar bandar dalam bahagian ini.
“Mereka telah memberi kami maklum balas terutama mengenai pelaksanaan projek transformasi luar bandar di kawasan masing-masing.
“Mereka juga memberikan maklumat berharga tentang apa yang perlu dilakukan untuk menaik taraf jalan balak yang terbengkalai atau tidak aktif atau membina yang baharu serta jambatan dan penyeberangan sungai," katanya.
Menurutnya, data yang diperoleh itu akan menjadi sangat berguna dan relevan kepada JKR dan MIPD dalam rancangan masa depan mereka bagi memastikan program ketersambungan luar bandar yang paling menyeluruh untuk Sarawak.
Tegasnya, pihaknya menyasarkan untuk Sarawak menjadi kawasan yang maju menjelang 2030, namun masih ada kampung dan rumah panjang yang memerlukan jalan seperti di pedalaman Miri dan Kapit.
“Oleh itu, kami mahu mereka dihubungkan (jalan dibina) menjelang 2030 dan sekarang kami sedang bergerak ke arah itu,” jelas beliau.