11 individu hilang tempat berteduh, satu blok rumah pekerja didiami musnah terbakar
MARUDI -- 11 individu yang terdiri 7 warga Malaysia dan 4 warga Indonesia hilang tempat berteduh selepas satu blok rumah pekerja yang didiami mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota dari BBP Marudi bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 2.30 pagi.
"Pasukan bomba terpaksa mengambil masa hampir dua jam menggunakan jalan ladang kelapa sawit menuju ke lokasi bagi mengesahkan kejadian," ujarnya.
Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kebakaran yang melibatkan 1 blok rumah pekerja ladang kelapa sawit yang mana 6 unit bilik jenis struktur tidak kekal terbakar sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku.
"Turut terbakar ialah sebuah pacuan empat roda dipercayai milik penghuni rumah pekerja terbabit," jelas beliau.
Mujurlah katanya kesemua penghuni berjaya keluar lari menyelamatkan diri semasa kejadian.
Setakat ini kebakaran tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.