Ukur perimeter tiba-tiba tanah diratah syarikat balak, penduduk Kampung Kedumpai minta campur tangan kerajaan Sarawak

KUCHING-- Penduduk Kampung Kedumpai, Ulu Sebuyau di Simunjan terkejut tanah di kampung mereka yang sepatutnya menjalani penyukatan perimeter oleh agensi kerajaan berkaitan kini diratah dengan aktiviti pembakalan. 

Memetik laporan The Borneo Post, penduduk di situ turut menuntut penjelasan daripada agensi yang bertanggungjawab di bawah kerajaan Sarawak.

Jelas mereka, tanah di kampung tersebut sepatutnya disukat perimeter di bawah Seksyen 16 Kanun Tanah, melibatkan keluasan 3,000 hektar tanah hak adat Bumiputera (NCR).

Namun, kata mereka, sebaliknya tanah tersebut didakwa telah diserahkan kepada syarikat pembalakan.

"Kami tidak faham mengapa kerajaan melakukan penyukatan perimeter dan kemudian memberi lesen kepada syarikat untuk melakukan aktiviti pengambilan kayu di tanah tersebut yang sepatutnya milik penduduk di sini.

"Kami juga telah melaporkan perkara ini kepada agensi kerajaan dan juga pernah menyuarakan masalah ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan tetapi hingga kini tiada jawapan yang jelas diberikan," kata ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kedumpai.

Jelas mereka, isu tersebut juga pernah disiarkan oleh akhbar tempatan pada 17 Jun tahun lepas selepas Rumah Sulaiman and Tuai Rumah Rayang membuat laporan polis berhubung aktiviti pembalakan haram yang berlaku di Sungai Munong, Kedumpai pada Mei.

"Namun aktiviti pembalakan ini tidak terhenti dan lebih 1,000 pokok telah ditebang dan baru-baru ini syarikat pembalakan tersebut mula mengangkut kayu-kayu ini keluar pada malam hari menerusi jalan ladang sawit melalui kampung berdekatan.

"Kami juga pernah pergi ke tapak pembalakan tersebut untuk bertanyakan perkara ini kepada syarikat berkenaan namun tidak diendahkan," ujarnya.

Justeru, penduduk di kampung tersebut menggesa campur tangan kerajaan negeri untuk menghentikan aktiviti pembalakan di kampung tersebut.

"Kami mahu aktiviti pembalakan ini dihentikan dan kerajaan harus campur tangan untuk menyelesaikannya.

"Aktiviti pembalakan ini turut menjejaskan alam sekitar," tegas mereka.

Difahamkan lebih 300 penduduk tinggal di Kampung Kedumpai.
Next Post Previous Post