Tuntut daripada PBT jika terlibat kemalangan akibat pokok tumbang-Kor Ming

KUALA LUMPUR-- Mangsa yang dihempap pokok tumbang boleh mengemukakan permohonan pampasan bagi menuntut ganti rugi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, tuntutan itu boleh dikemukakan kepada PBT jika mangsa yang terbabit dengan kemalangan disebabkan insiden pokok tumbang.

Bagaimanapun, jelas beliau setiap tuntutan yang dikemukakan masih tertakluk kepada keputusan siasatan yang akan dijalankan pihak insurans lantikan PBT masing-masing.

"Oleh itu, orang awam digalakkan bekerjasama dengan PBT bagi memaklumkan dan mendapatkan khidmat sokongan bersesuaian sekiranya terdapat kes pokok yang mendatangkan bahaya serta memerlukan tindakan segera," katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Kor Ming menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang bertanyakan garis panduan penanaman pokok di tepi jalan di bawah seliaan pihak kerajaan pusat dan kerajaan tempatan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 5,913 kes pokok tumbang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di seluruh negara sejak 2023 hingga April lalu.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 1,085 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini," dedahnya.

Tambahnya, sementara kekerapan insiden pokok tumbang sepanjang tahun 2023 adalah 4,828 kes di seluruh negara.

Mengulas lanjut, katanya bilangan kes tertinggi direkodkan di Selangor membabitkan 953 kes, diikuti Perak (575 kes) dan Johor (523 kes).
Next Post Previous Post