Tiga sekawan cedera ditembak, polis giat buru suspek

KUCHING-- Polis kini giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes tembakan yang menyebabkan tiga sekawan cedera, dilaporkan berlaku di belakang sebuah pasaraya Batu 19 Jalan Kuching Serian awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 1.57 pagi.

"Pengadu berumur 26 tahun memaklumkan tiga rakannya telah terkena tembakan bertempat di belakang sebuah pasaraya Batu 19 Jalan Kuching Serian.

"Siasatan mendapati ketiga-tiga mangsa adalah lelaki tempatan berumur antara 24 hingga 25 tahun mengalami kecederaan kesan tembakan di bahagian badan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, ketiga-tiga mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak dalam keadaan stabil. 

"Usaha mengesan suspek giat dijalankan. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat)," tegasnya.

Dalam pada itu sumber di lapangan memberitahu, salah seorang daripada tiga mangsa yang terkena tembakan dipercayai mengalami cedera parah iaitu dengan 16 biji pelet di kepala, bahu dan muka.

Manakala dua lagi mangsa masing-masing mempunyai enam luka pelet di tangan dan kaki, dan empat hingga lima kesan pelet di tangannya.

Difahamkan semasa kejadian terdapat lima daripada mereka di dalam kereta dan dikatakan mahu pergi makan malam di kawasan berdekatan.

Tiga mangsa keluar daripada kereta terlebih dahulu menyebabkan mereka ditembak.

Manakala pemandu dan seorang penumpang hadapan wanita yang masih berada dalam kereta terselamat daripada terkena tembakan.

Tembakan itu juga menyebabkan kereta yang dinaiki mereka turut mengalami kerosakan akibat pelet.
Next Post Previous Post