Tiga hospital baharu di Kuching
KUCHING-- Sarawak bakal mempunyai tiga hospital baharu di ibu negeri dengan kapasiti sekitar 1,000 katil.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hospital tersebut dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Salah satunya dengan menaik taraf dan memperbesarkan lagi hospital milik kerajaan negeri, Pusat Pakar Perubatan Normah di sebuah lokasi baharu.
“Normah akan membangunkan hospital yang memiliki 300 katil yang turut mempunyai peralatan terkini. Jadi yang ini merupakan kepunyaan Sarawak.
“Dua lagi dibangunkan sektor swasta yang mana satunya di kawasan Tabuan Jaya, juga mempunyai 300 katil dengan kemudahan yang terkini dari sudut teknologi, manakala satu lagi di Batu Lintang, ini juga dari pelabur asing (swasta),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Persidangan Asia Pasifik Kesihatan Awam ke-8 (8th APCPH), di sini, malam tadi.
"Dalam tempoh lima tahun, Sarawak akan mempunyai pertambahan hospital dan jumlah katil untuk pesakit iaitu kira-kira 1,000 katil," tambah Abang Johari.
Beliau memberitahu, hospital-hospital berkenaan juga akan dilengkapi kemudahan kawasan komersial serta hotel bagi memudahkan keluarga pesakit dari luar Sarawak mendapatkan penginapan berdekatan hospital.
Katanya lagi, dengan adanya syarikat penerbangan Sarawak sendiri juga akan dapat memudahkan pesakit dari luar negeri dan juga luar negara untuk datang ke negeri ini untuk mendapatkan rawatan.
“Bukan untuk orang Sarawak dan orang Malaysia sahaja, tetapi juga pesakit dari luar negara, lebih-lebih lagi dari ibu negara Indonesia, Nusantara yang hanya mengambil masa 20 minit jika menggunakan kapal terbang," jelasnya.
Menurutnya, dari segi statistik juga, ramai rakyat Indonesia datang berkunjung ke Sarawak untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta di sini yang mengenakan harga yang berpatutan.
Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya berkata projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak yang baharu dijangka bermula pada hujung tahun ini.
Jelasnya, pembangunan pusat itu adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi memenuhi keperluan pesakit kanser di negeri ini yang membelanjakan kos mahal bagi rawatan.
“Jika kita hanya bergantung kepada hospital di Kuala Lumpur, ia sangat mahal dan rakyat kita mungkin tidak mampu untuk mendapatkan rawatan. Jika seorang pergi, seluruh keluarga akan ikut dan tambang untuk ke sana juga mahal.
“Jadi inilah yang kerajaan negeri lakukan, untuk menaik taraf kemudahan untuk rakyat kita sendiri dan juga negeri jiran kita.
"Kalau Sarawak ada pusat kanser, pesakit dari Sabah juga boleh datang menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo, tidak payah naik kapal terbang,” ujarnya.
Tambahnya kerajaan Sarawak akan membiayai terlebih dahulu kos pembinaan dan kerajaan Persekutuan akan membayar balik bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
Gambar Kredit Jabatan Penerangan